Polis siasat MPV dilanggar motosikal

Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap anggotanya susulan kemalangan membabitkan MPV polis dan sebuah motosikal di Padang Jawa.
Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap anggotanya susulan kemalangan membabitkan MPV polis dan sebuah motosikal di Padang Jawa.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap anggotanya sekiranya terdapat elemen kecuaian berhubung insiden kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang melanggar unit kereta peronda (MPV) di persimpangan lampu isyarat Padang Jawa menghala ke Seksyen 16, Shah Alam, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kemalangan berlaku pada jam 6.19 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila MPV polis dari arah Jalan Sungai Rasau menghala ke Seksyen 19 untuk ke lokasi respon MERS 999.

“Tiba di lokasi persimpangan lampu isyarat terbabit dalam keadaan memasang lampu beacon dan siren, MPV terbabit telah dilanggar sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun.

“Kemalangan menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian tulang pinggul serta luka-luka di tangan dan dirawat di Hospital Shah Alam.

"Anggota bertugas dalam MPV tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, siasatan dalaman oleh jawatankuasa turut dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kecuaian daripada pihak PDRM.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri, di talian 019-3229097.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan lalu lintas serta peka terhadap kenderaan kecemasan yang sedang bertugas,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Polis menjalankan siasatan dalaman anggotanya berkaitan insiden kemalangan motosikal dengan MPV polis di Shah Alam
  • Kemalangan berlaku ketika MPV polis menuju ke lokasi respon panggilan kecemasan dengan lampu beacon dan siren aktif
  • Penunggang motosikal berumur 27 tahun mengalami kecederaan serius dan dirawat di Hospital Shah Alam
  • Anggota polis dalam MPV tidak mengalami kecederaan serius
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan dan melibatkan siasatan dalaman PDRM serta menggesa saksi tampil membantu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!