Kit ujian kendiri influenza perlu berada di pasaran - Presiden MPS

SHAH ALAM - Kit self-test (ujian kendiri) bagi jangkitan influenza perlu berada di pasaran tempatan bagi membolehkan masyarakat mengesan penyakit itu lebih awal dan mengekang penularannya.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, perkara itu penting memandangkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kit self-test influenza yang didaftarkan di Malaysia ketika ini.
Katanya, kenyataan MDA itu bermaksud semua kit self-test influenza yang dijual di pasaran termasuk di media sosial adalah tidak sah untuk kegunaan orang awam.
"Adakah ketiadaan kit berdaftar itu berpunca daripada tiada permintaan oleh syarikat pengeluar atau keputusan kerajaan untuk tidak membenarkannya.
“Dari segi keperluan masyarakat, kewujudan kit berkenaan adalah relevan kerana rakyat kini sudah mempunyai pengetahuan dan pengalaman menjaga diri sendiri hasil pembelajaran semasa pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Amrahi berkata, kerajaan sewajarnya meneliti keberkesanan kit self-test influenza yang digunakan di peringkat antarabangsa sebagaimana dilakukan terhadap kit ujian kendiri Covid-19 sebelum ini.
Beliau menjelaskan, penularan Influenza A kini semakin meluas dan melibatkan ribuan rakyat, khususnya kluster di sekolah di seluruh negara.
"Virus influenza juga merebak lebih cepat berbanding Covid-19 dan boleh berlaku sepanjang tahun di Malaysia kerana iklim tropika.
“Jangkitan influenza ini telah meragut nyawa termasuk kanak-kanak dan risiko terhadap warga emas serta pesakit kronik adalah nyata. Jika penyakit ini dapat dikesan awal, ia boleh dikawal dan dirawat dengan cepat,” katanya.
Menurutnya, kelewatan mengesan virus menyebabkan peningkatan kes di jabatan kecemasan hospital apabila pesakit hanya mengetahui dijangkiti selepas berjumpa doktor untuk rawatan, manakala pengesanan pula dilakukan melalui test-kit berdaftar di klinik yang menyebabkan kelewatan kawalan penularan.
“Maka dalam situasi ini, bukankah lebih baik sekiranya ada kit self-test influenza yang berdaftar di pasaran? Rakyat kini lebih cakna dan bijak melakukan ujian kendiri hasil pengalaman mengekang wabak Covid-19,” ujarnya.
Amrahi berkata, kit self-test Covid-19 masih dijual di lebih 4,000 farmasi komuniti di seluruh negara, justeru langkah memperkenalkan kit ujian kendiri influenza adalah kesinambungan yang wajar dan berkesan untuk mengekang wabak ini.
Katanya lagi, rawatan akan jauh lebih murah jika penyakit dikesan lebih awal, dan farmasis komuniti bersedia mendidik orang ramai mengenai cara penggunaan kit ujian kendiri berkenaan.
Ringkasan AI
- Kit self-test influenza perlu ada di pasaran tempatan untuk mengesan penyakit awal dan cegah penularan
- Tiada kit self-test influenza yang didaftarkan di Malaysia setakat ini
- Penularan Influenza A semakin meluas, melibatkan ribuan rakyat termasuk kluster sekolah
- Kit self-test dapat mempercepat pengesanan dan rawatan Influenza, mengurangkan beban jabatan kecemasan hospital
- Pengenalan kit self-test influenza akan menyambung usaha mengekang wabak, farmasis komuniti bersedia mendidik penggunaan kit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
