Apabila moral kita diserang virus!

Kes pelajar terlibat dalam salah laku serius semakin membimbangkan - Gambar hiasan
Kes pelajar terlibat dalam salah laku serius semakin membimbangkan - Gambar hiasan
A
A
A

AKHIR-akhir ini, terlalu kerap kita dikejutkan dengan berita yang menyakitkan hati seperti pelajar sekolah terbabit kes rogol, bunuh, buli, malah ada yang sanggup rakam aksi tidak bermoral untuk dijadikan tontonan dunia.

Merak Jalanan baca pun terasa kecut perut. Bukan sebab kejinya dengan perbuatan itu, tetapi berikutan si pelaku masih bergelar murid ataupun pelajar.

Kalau dulu, murid lewat ke sekolah pun sudah kena rotan. Sekarang, ada yang siap berani cabar undang-undang, lontar kata-kata kesat kepada guru dan rakam semua untuk dijadikan ‘content’.

Lebih menakutkan, apabila dosa dan salah laku itu dijadikan bahan hiburan.

Inilah simptom generasi yang sedang dijangkiti bukan oleh virus fizikal tetapi virus moral yang sedang menular tanpa henti.

Merak Jalanan bukan mahu menuding jari. Guru bukan malaikat, ibu bapa bukan robot dan masyarakat pun bukan makhluk yang sempurna.

Akan tetapi kalau semua memilih untuk berdiam diri, siapa pula yang akan menegur? Bila setiap kesilapan dianggap 'biasalah budak-budak', lambat-laun virus ini jadi barah.

Dalam dunia serba moden ini, anak-anak lebih percaya kepada ‘influencer’ berbanding dengan ibu sendiri. Mereka belajar tentang hidup daripada TikTok, bukan pula dengn pengalaman sebenar.

Bila akal waras mula ‘cuti sekolah’, maka lahirlah generasi yang pandai menulis kapsyen motivasi tetapi gagal fahami erti empati.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan percaya, masih belum terlambat untuk kita rawat wabak ini.

Ia bukan perlukan undang-undang baharu sebaliknya hati yang mahu mendidik dengan kasih, bukan menghukum dengan marah.

Nilai bukan diwarisi akan tetapi ditunjuk melalui contoh. Jika setiap daripada kita mampu menjadi model kecil akhlak yang baik, mungkin virus ini akhirnya akan terhenti sebelum semuanya musnah.

Percayalah!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!