Langkah baharu keselamatan sekolah akan diumum dalam masa terdekat - Fadhlina

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengumumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat berhubung usaha menambah baik aspek keselamatan di sekolah serta disiplin murid dan pelajar sebagaimana keputusan Jemaah Menteri.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini menuntut pihaknya bekerja dengan lebih giat bagi memperbaiki kelompongan yang wujud demi memastikan keselamatan anak-anak, para guru serta seluruh warga pendidikan.
“Bagai tiada istilah cuti kerana ketika ini kami sedang menggiatkan usaha menyusun semua mekanisme bagi memperkukuh ekosistem sekolah yang selamat.
“Saya telah mengadakan pertemuan dan taklimat bersama pasukan sokongan psikososial yang sedang melaksanakan intervensi krisis untuk membantu warga sekolah yang terjejas susulan beberapa insiden, demi mendukung sokongan kesihatan mental,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
Sebelum ini, beberapa insiden jenayah dilaporkan berlaku di sekolah antaranya seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Oktober lepas dan suspek dalam kes itu, iaitu pelajar lelaki berumur 14 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Selain itu, pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka dirogol pelajar senior pada 2 Oktober dan seorang murid lelaki ditemukan maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan akibat terpijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah pada 27 September lalu.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia akan mengumumkan langkah keselamatan dan disiplin murid baru
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata insiden baru menuntut perbaikan
- Tidak ada cuti dalam usaha memperkukuh ekosistem sekolah yang selamat
- Pertemuan dengan pasukan sokongan psikososial untuk sokongan kesihatan mental
- Beberapa insiden jenayah di sekolah mencetuskan tindakan ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
