Tukang masak maut nahas dua kenderaan

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Foto: Polis
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Foto: Polis
A
A
A

SETIU - Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 61 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu, berdekatan Kampung Rahmat di sini pada Isnin.

Mangsa, Loh Eng Keat, 61, dari Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihak polis menerima laporan kemalangan jam 11.37 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa dengan sebuah SUV Proton X70 dipandu seorang jururawat berusia 36 tahun.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu berlanggar dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, motosikal tersebut tercampak dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mohd Zain berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada jam 5 petang hari sama.

"Pemandu SUV dan tiga penumpangnya yang terdiri daripada dua wanita dan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan SUV di Kampung Rahmat, Setiu
  • Mangsa berusia 61 tahun dari Pulau Pinang meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah
  • Kemalangan melibatkan motosikal Yamaha 135LC dan SUV Proton X70 dipandu seorang jururawat berusia 36 tahun
  • Kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV menghala ke Kota Bharu berlanggar dengan motosikal dari arah bertentangan
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!