Jenazah mangsa lemas Pantai Penunjuk selamat dikebumi

Syafiq Azril bersama Allahyarham Nor Hidayah. Foto Bernama
Syafiq Azril bersama Allahyarham Nor Hidayah. Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Jenazah seorang wanita dan kanak-kanak yang maut dalam tragedi lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu petang Sabtu, selamat dikebumikan petang Ahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hijrah di sini.

Suami mangsa, Syafiq Azril Mohd Nasis, 40, berkata, jenazah Nor Hidayah Zakaria, 39, dan anak saudaranya, Urshia Medina Noor Didi Hilmi, 12, masing-masing selamat dikebumikan bersebelahan kira-kira 6 petang.

Syafiq Azril berkata, mereka mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Sollehuddin, 13, dan arwah isterinya adalah jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah.

"Sebelum kejadian, kami bersama ahli keluarga yang lain bercuti di Cherating, Pahang. Arwah kemudian teringin sangat nak singgah di Pantai Penunjuk sebab dia kata cantik sangat pantai tu," katanya kepada Bernama malam ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang Sabtu, kegembiraan tujuh sekeluarga berkelah di Pantai Penunjuk, bertukar tragedi apabila seorang wanita dan anak saudaranya maut, manakala lima lagi nyaris lemas selepas ditarik ombak ketika mandi-manda.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli dilaporkan berkata, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang tidak sedarkan diri ketika ditemui telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kijal, namun disahkan meninggal dunia pada 5.23 petang.

Nor Hidayah yang turut tidak sedarkan diri ketika ditemui dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.42 petang. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Jenazah wanita dan kanak-kanak maut dalam tragedi lemas di Pantai Penunjuk, Terengganu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hijrah
  • Suami mangsa, Syafiq Azril Mohd Nasis mengumumkan jenazah isteri dan anak saudaranya dikebumikan bersebelahan
  • Isteri Syafiq Azril adalah jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah dan mereka mempunyai seorang anak lelaki
  • Keluarga bercuti di Cherating sebelum insiden lemas ketika singgah di Pantai Penunjuk yang dikatakan cantik
  • Tragedi lemas berlaku ketika tujuh sekeluarga mandi-manda, menyebabkan dua meninggal dan lima nyaris lemas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!