KWSP aktifkan i-Lestari mudahkan pengeluaran Akaun 2

KWSP menyediakan e-mel khas i-Lestari iaitu ilestari@epf.gov.my untuk ahli menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan.
KWSP menyediakan e-mel khas i-Lestari iaitu ilestari@epf.gov.my untuk ahli menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelonggaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran daripada Akaun 2 berikutan wabak koronavirus (Covid-19) memerlukan pindaan terhadap Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6).

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran menerusi kemudahan i-Lestari bermula 1 April 2020 dan wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, kemudahan i-Lestari akan memberikan kelegaan dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas bagi menampung keperluan keluarga berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara.

“KWSP perlu mengimbangi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli dan pada masa yang sama menjaga kesejahteraan mereka dalam waktu getir sebegini.

“Kami meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Alizakri berkata, bagi memudahkan ahli, KWSP turut menyediakan e-mel khas i-Lestari iaitu ilestari@epf.gov.my untuk menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan.

“Soalan berserta maklum balas ini kemudiannya akan dikemaskini dalam senarai soalan lazim (FAQ) sedia ada yang telah dimuat naik ke laman sesawang www.kwsp.gov.my,” katanya.

Alizakri turut mengingatkan ahli KWSP supaya menggunakan pertimbangan wajar apabila membaca tentang sesuatu berita atau paparan media sosial.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat pelbagai unsur penipuan dan berita palsu yang disebarkan terutama melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter.

"Adalah diingatkan bahawa KWSP hanya membuat makluman kepada ahli melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi sahaja,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.