Pelajar lelaki direman empat hari disyaki lakukan gangguan seksual

SABAK BERNAM - Polis menahan seorang pelajar lelaki di tepi jalan di Jalan Parit 1 Barat, Sungai Besar, di sini, selepas disyaki terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap rakan sekolahnya di sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, suspek berusia 14 tahun itu ditahan pada hari sama selepas melakukan gangguan seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun pada Isnin lalu.
“Susulan laporan diterima, polis berjaya menahan suspek pada hari sama,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
MD Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika waktu rehat di dalam kawasan sekolah.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.
Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek dibuat pada Selasa dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa polis menahan seorang lelaki selepas menerima laporan berhubung kejadian gangguan seksual melibatkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun kerana terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap rakan sekolah perempuan 15 tahun
- Kejadian gangguan seksual berlaku di kawasan sekolah sewaktu waktu rehat
- Mangsa kemudiannya membuat laporan polis mengenai insiden tersebut
- Suspek ditahan pada hari yang sama dan tahanan reman selama empat hari untuk siasatan
- Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

