Tangani isu sosial remaja bersama bukan saling menyalahkan - Nancy

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru semua pihak agar bertindak bersama dalam menangani isu sosial melibatkan remaja dan tidak sekadar menuding jari mencari kesalahan.
Beliau berkata, tragedi yang berlaku membabitkan dua remaja baru-baru ini amat menyedihkan dan membimbangkan.
"Marilah kita semua sama ada ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan melihat tragedi ini sebagai panggilan untuk bertindak bersama.
"Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang, keprihatinan dan tindakan bersama demi melindungi dan membimbing generasi muda," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, pada usia yang sepatutnya dipenuhi kasih sayang, bimbingan serta peluang untuk berkembang, insiden tersebut telah meragut nyawa dan masa depan mereka.
"Sebagai sebuah masyarakat, kita tidak boleh memandang tragedi ini sebagai kes terpencil.
"Ia mencerminkan cabaran nilai dan tekanan sosial yang sedang dihadapi oleh anak-anak kita hari ini sama ad di rumah, di sekolah dan juga di dunia digital yang tanpa sempadan," ujar beliau.
Malah, Nancy bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan peranan media sosial dan keperluan tindakan tegas kerajaan.
"Pada masa yang sama, kita juga harus mengimbangi ketegasan dengan empati serta memahami bahawa punca kepada isu ini bukan hanya soal disiplin atau teknologi, tetapi juga soal bimbingan, komunikasi dan kasih dalam keluarga serta komuniti sekolah,” katanya.
Beliau berkata, KPWKM percaya keluarga dan sekolah perlu bergerak seiring kerana anak-anak memerlukan kedua-dua institusi itu untuk menjadi benteng kasih sayang dan panduan nilai.
Katanya, dengan cabaran baharu yang dihadapi oleh ibu bapa dan kanak-kanak pada masa ini, KPWKM akan terus berusaha menambah baik penyampaian perkhidmatan agar dapat memenuhi keperluan semasa masyarakat.
"Kami tidak mampu untuk bergerak sendirian kerana menangani cabaran ini memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing bukan sahaja memperkukuh dasar dan program, tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyeru semua pihak bertindak bersama menangani isu remaja
- Tragedi melibatkan dua remaja baru-baru ini dianggap sangat menyedihkan
- Kejadian itu dilihat sebagai panggilan untuk aksi bersama antara ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan
- Tindakan berasaskan kasih sayang, keprihatinan dan kerjasama ditekankan
- KPWKM percaya keluarga dan sekolah harus bergerak seiring menyokong anak-anak dalam menghadapi cabaran sosial baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

