Rakyat Malaysia guna lesen Singapura boleh mohon BUDI95 mulai esok - Anthony

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan akan membuka laman sesawang khas mulai esok bagi memudahkan rakyat Malaysia yang menggunakan Lesen Memandu Singapura (LMS) memohon Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia bagi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi terpaksa menggunakan lesen memandu republik itu untuk tujuan pekerjaan khususnya dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.

"MOT prihatin terhadap maklum balas daripada warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura berkenaan pelaksanaan BUDI95 khususnya mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas dan pekerja operasi,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, laman sesawang berkenaan boleh diakses di www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my manakala status kelayakan boleh disemak selepas 14 hari melalui portal rasmi www.budi95.gov.my.

Anthony berkata, semua permohonan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian dan pertimbangan kelayakan berdasarkan syarat iaitu pemohon merupakan warganegara Malaysia, memiliki LMS yang masih sah dan mempunyai status permit pekerjaan di Singapura.

Beliau juga berkata, subsidi BUDI95 kekal hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia manakala rakyat Malaysia yang tidak lagi bekerja di republik itu boleh memohon semula Lesen Memandu Malaysia setelah membatalkan lesen Singapura mereka mengikut prosedur sedia ada.

"Jabatan ini berharap langkah ini dapat membantu memudahkan urusan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura agar turut mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan program subsidi bahan api negara,” katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kementerian Pengangkutan membuka laman sesawang khas untuk rakyat Malaysia guna Lesen Memandu Singapura memohon Budi Madani RON95
  • Tujuan untuk bantu rakyat Malaysia bekerja di Singapura dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas dan pekerja operasi
  • Laman sesawang boleh diakses di www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my dan kelayakan disemak di www.budi95.gov.my selepas 14 hari
  • Permohonan dikaji Kementerian Kewangan berdasarkan syarat memiliki LMS sah dan status permit pekerjaan di Singapura
  • Subsidi BUDI95 hanya untuk kenderaan didaftarkan di Malaysia, boleh mohon Lesen Memandu Malaysia selepas batalkan lesen Singapura

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!