PRN Sabah: GRS-PH telah muktamadkan agihan kerusi-Hajiji

Hajiji (dua dari kanan) ketika melawat Sekolah Agama Negeri Pekan Tambunan pada Selasa.
Hajiji (dua dari kanan) ketika melawat Sekolah Agama Negeri Pekan Tambunan pada Selasa.
A
A
A

TAMBUNAN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi masing-masing namun hanya akan diumumkan pada hari penamaan calon.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian selepas tarikh tersebut ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis.

"Ya, kami sudah tahu (tapi) saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada hari penamaan calon dan kamu akan tahu bilangannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan pada Selasa.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut memaklumkan bahawa gabungan itu akan melancarkan manifestonya selepas hari penamaan calon.

"Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah," katanya.

Beliau yakin bahawa rakyat akan mengembalikan mandat kepada GRS-PH berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran selama lima tahun.

"Kami telah mencapai banyak kejayaan melalui pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat. Kami telah membawa pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.

"Kami telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan, selain memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih.

"Kami turut mencatat kejayaan dalam industri minyak dan gas. Pembangkang cuba menafikan kejayaan ini, tetapi saya percaya rakyat kini matang dan akan menghargai pencapaian kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hajiji turut menyatakan bahawa PRN kali ini akan lebih meriah dengan banyak parti politik telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.

"Marilah kita meraikan demokrasi," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi
  • Agihan kerusi hanya akan diumumkan pada hari penamaan calon yang ditetapkan SPR
  • Manifesto gabungan GRS akan dilancarkan selepas hari penamaan calon
  • GRS-PH yakin mendapat sokongan berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran lima tahun lalu
  • PRN akan lebih meriah dengan penyertaan banyak parti politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!