Ireland Utara tumbang di Belfast, O’Neill persoal mutu pengadilan

PENGENDALI Ireland Utara, Michael O’Neill meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan selepas pasukannya tewas tipis 0-1 kepada Jerman dalam aksi Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Eropah di Stadium Windsor Park, Belfast.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang Newcastle United, Nick Woltemade, pada separuh masa pertama yang juga gol sulungnya bersama skuad kebangsaan Jerman.
Bagaimanapun, O’Neill jelas tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan dari Sepanyol, Jesus Gil Manzano, termasuk tindakan menambah hanya dua minit masa kecederaan biarpun berlaku lapan pertukaran pemain serta beberapa henti permainan.
“Saya rasa beliau terlalu cerewet dalam membuat keputusan. Memberi hanya dua minit masa tambahan agak luar biasa, memandangkan banyak pertukaran dan masa terhenti.
“Jerman juga banyak melengahkan permainan dan terlalu dramatik setiap kali terjatuh. Kami kecewa dengan prestasi keseluruhan pengadil,” kata O’Neill.
Pertemuan itu merupakan perlawanan ke-100 O’Neill sebagai pengendali Green and White Army, namun sambutan istimewa itu berakhir dengan kekecewaan selepas jaringan daripada sepakan sudut yang mengakibatkan bola terkena bahu Woltemade terus menerjah gawang.
Ireland Utara turut mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol apabila Dan Ballard melihat jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Sementara Jamie Reid, Ethan Galbraith dan Callum Marshall hampir menyamakan kedudukan pada penghujung permainan.
“Separuh masa pertama, kami agak gugup dengan bola tetapi masih dalam permainan dan tidak banyak beri ruang kepada mereka.
“Gol yang kami bolos agak pelik terkena bahu pemain dan masuk. Kami patut bertahan lebih baik.
“Separuh masa kedua kami bermain dengan lebih berani, malah sepatutnya mendahului. Kami ada gol dibatalkan, dan peluang terakhir juga gagal disempurnakan. Namun saya tetap bangga dengan semangat pemain,” ujar O’Neill.
Kekalahan itu menyaksikan Ireland Utara kekal di tangga ketiga Kumpulan A, tiga mata di belakang Jerman dan Slovakia, dengan hanya dua perlawanan berbaki menentang Slovakia di tempat lawan dan Luxembourg di Belfast bulan depan.
O’Neill menegaskan pertemuan di Kosice menentang Slovakia bakal menjadi perlawanan penentu untuk mengekalkan peluang mara ke pusingan play-off.
“Kami perlu pastikan tidak tewas di Slovakia supaya masih ada sesuatu untuk diperjuangkan dalam perlawanan terakhir.
“Saya belum lihat semua kiraan mata, tapi empat mata bulan depan mungkin sudah cukup,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali Ireland Utara, Michael O'Neill, kecewa dengan mutu pengadilan selepas tewas 0-1 kepada Jerman
- Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Nick Woltemade dari Jerman pada separuh masa pertama
- O'Neill tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang menambah hanya dua minit masa kecederaan walaupun banyak pertukaran pemain dan henti permainan
- Ireland Utara mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi beberapa percubaan dibatalkan atau gagal
- Kekalahan itu menyisakan Ireland Utara di tangga ketiga Kumpulan A, tiga mata di belakang Jerman dan Slovakia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
