'[VIDEO] Pelajar Tingkatan Tiga maut ditikam, polis rampas dua senjata tajam

A
A
A

PETALING JAYA - Polis merampas dua senjata tajam yang disyaki digunakan dalam kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan sebelum disedari seorang guru yang mendengar bunyi jeritan.

Menurutnya, polis yang dikejarkan ke lokasi telah menahan seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kita telah merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah terbabit pada Selasa.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan jenis senjata tajam itu kerana ia memerlukan pengesahan lanjut.

Shamsudin ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah pada Selasa.
Shamsudin ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah pada Selasa.

Shamsudin berkata, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Suspek telah ditahan dan akan direman esok (Rabu) di Mahkamah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya lagi, tiada pelajar lain yang dilaporkan cedera atau menjadi mangsa dalam kes tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan mendapati penjaga serta ibu bapa pelajar lain memenuhi kawasan hadapan pintu pagar sekolah bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai insiden itu.

Ringkasan AI

  • Polis merampas dua senjata tajam yang disyaki digunakan dalam pembunuhan pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Bandar Utama
  • Kejadian berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan dan disedari oleh seorang guru setelah mendengar bunyi jeritan
  • Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu berusia 14 tahun ditahan kerana disyaki terlibat
  • Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat
  • Motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!