Seorang lagi pengusaha kebun durian haram ditahan SPRM Pahang

SPRM Pahang menahan seorang lagi peneroka haram kerana disyaki mengusahakan kebun durian haram dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram. Foto hiasan
SPRM Pahang menahan seorang lagi peneroka haram kerana disyaki mengusahakan kebun durian haram dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram. Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang lagi peneroka haram ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kerana disyaki mengusahakan kebun durian haram serta terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram di salah sebuah daerah di negeri ini.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Raub.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025 dan memperoleh keuntungan hasil aktiviti berkenaan yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.

Sumber itu memaklumkan, penahanan berkenaan merupakan susulan kepada tangkapan lima pengusaha kebun haram yang dilakukan baru-baru ini bagi kes yang sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Suspek dilepaskan selepas keterangan diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek serta saksi lain yang berkaitan,” katanya.

Pada 30 September lalu, Sinar Harian melaporkan penahanan lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang durian kerana disyaki mengusahakan kebun durian haram serta terlibat dalam amalan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, suspek berusia antara 40 hingga 60-an itu didakwa memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang hasil daripada aktiviti tanaman pokok durian di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang peneroka haram ditahan oleh SPRM Pahang kerana mengusahakan kebun durian haram dan pengubahan wang haram
  • Lelaki berusia 60-an itu ditahan di Pejabat SPRM cawangan Raub
  • Disyaki melakukan aktiviti haram antara tahun 2024 hingga 2025 dengan keuntungan ratusan ribu ringgit
  • Penahanan susulan tangkapan lima pengusaha kebun haram bagi kes yang sama
  • Kes disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!