MSWM lancar Fasiliti Pemulihan Bateri Litium pertama di Malaysia

NILAI – MS Waste Management Sdn Bhd (MSWM) mencipta sejarah apabila melancarkan Fasiliti Pemerolehan Kembali (Recovery) Bahan Buangan Terjadual SW103 Bateri Litium terpakai yang dilengkapi teknologi kawalan alam sekitar bersepadu pertama di Malaysia.
Fasiliti berteknologi tinggi yang dilesenkan sepenuhnya oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu dirasmikan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Faizal Ramli; Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Tuan Veerapan A/L Superamaniam; Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, Tuan Arul Kumar A/L Jambunathan; serta Pengerusi MSWM, Datuk Abdul Rahman Rahim.
Turut hadir Penasihat Strategik, Datuk Fariz Nazrul Che Noh; Pengarah Urusan, Datuk A. Mariasoosay Arulanandam; Pengarah, Magathevan Anthony; wakil agensi kerajaan, ahli industri dan media.
Fasiliti diiktiraf Malaysia Book of Records
Fasiliti berkenaan turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “First Lithium Battery Recovery Process with Environmental Control System.”
Menurut Abdul Rahman, pelancaran fasiliti SW103 itu merupakan pencapaian penting bukan sahaja bagi MSWM, malah untuk negara.

“Dengan lebih 20 tahun pengalaman, MSWM komited menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam pengurusan sisa terjadual merangkumi analisis, rawatan, kitar semula dan logistik.
“Kami bukan sekadar berorientasikan keuntungan, tetapi turut menyokong aspirasi negara sifar karbon menjelang 2050 serta menekankan pemeliharaan alam sekitar dan pematuhan piawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, MSWM kini memiliki pensijilan ISO 9001, ISO 14001, ISO 45001 dan ISO 37001, membuktikan keupayaan syarikat dalam aspek pengurusan kualiti, keselamatan, kesihatan pekerjaan serta tadbir urus antirasuah.
Sokong agenda Negeri Sembilan Sejahtera
Sementara itu, Jalaluddin berkata, pembangunan fasiliti tersebut sejajar dengan agenda “Negeri Sembilan Sejahtera” yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Melalui teknologi pemulihan semula bateri litium, bahan buangan berbahaya kini boleh dirawat menjadi sumber bernilai. Pendekatan ini memupuk ekonomi kitaran yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti tenaga bersih, inovasi industri, penggunaan bertanggungjawab dan mitigasi perubahan iklim,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat mencontohi inisiatif seperti MSWM bagi memastikan setiap pelaburan dan keputusan industri berpaksikan kelestarian.
Penanda aras baharu industri hijau
Kejayaan ini dianggap sebagai langkah besar Malaysia dalam membangunkan ekosistem industri hijau berimpak tinggi. Ia bukan sahaja meningkatkan daya saing industri tempatan, malah membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan bahan mentah domestik.
Majlis pelancaran itu mencerminkan komitmen bersama antara kerajaan dan sektor swasta dalam merealisasikan prinsip ekonomi kitaran selaras aspirasi Malaysia Madani.
Tentang MS Waste Management Sdn Bhd
MSWM merupakan antara peneraju utama industri pengurusan bahan buangan terjadual di Malaysia dengan perancangan untuk membangunkan beberapa lagi projek berteknologi tinggi, mesra alam dan menjimatkan sumber asli.
Antara fokus masa depan syarikat ialah:
Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memulihkan bahan berharga daripada buangan industri selaras konsep “Cradle to Cradle”;
Pengurangan pelepasan karbon melalui pengoptimuman tenaga serta penggunaan sumber alternatif bersih; dan
Peningkatan kesedaran dan kolaborasi antara industri, agensi kerajaan serta masyarakat dalam memperkukuh budaya tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pendekatan itu bukan sahaja menangani isu pencemaran alam sekitar, tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam bidang teknologi hijau dan kejuruteraan alam sekitar selaras dengan hasrat negara melahirkan tenaga kerja mahir berdaya saing di peringkat global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
