Nestlé Malaysia lancar Halal@School Peringkat Negeri pertama di Melaka

(Tiga dan empat dari kiri) Guru Besar SK Kerubong,Rahayu Mohd Thith; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jamsari Mariman dan (tiga dari kanan) Ketua Hal Ehwal Halal, Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor bersama para pelajar sempena pelancaran peringkat negeri program Halal@School di SK Kerubong yang turut melibatkan 6 sekolah.
(Tiga dan empat dari kiri) Guru Besar SK Kerubong,Rahayu Mohd Thith; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jamsari Mariman dan (tiga dari kanan) Ketua Hal Ehwal Halal, Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor bersama para pelajar sempena pelancaran peringkat negeri program Halal@School di SK Kerubong yang turut melibatkan 6 sekolah.
A
A
A

BERBEKAL komitmen berterusan menyantuni masyarakat dan menerajui sektor Halal, Nestlé Malaysia baru-baru ini melancarkan program Halal@School peringkat negeri yang pertama di Melaka.

Majlis pelancaran yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kerubong itu menghimpunkan lebih 500 murid dari enam sekolah, di mana mereka menyertai satu siri aktiviti praktikal menarik yang bertumpukan kepada prinsip Halal, keselamatan makanan dan pemakanan seimbang.

Dilancarkan pada 2018 dengan kerjasama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Halal@School merupakan sebahagian daripada komitmen Nestlé Malaysia untuk menambah baik kehidupan komuniti tempatan sambil menyebarkan ilmu pemakanan.

Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor berkata, sebagai Pusat Kecemerlangan Halal global Nestlé, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menyumbang bukan sahaja menerusi produk berkualiti tinggi, tetapi juga melalui penglibatan bermakna dalam masyarakat.

“Menerusi program Halal@School, kami dapat menghulurkan tangan kepada murid dengan cara yang praktikal, terangkum dan relevan, sekali gus memupuk kesedaran lebih tinggi tentang nilai-nilai Halal sambil menggalakkan pilihan pemakanan lebih sihat dalam kalangan generasi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau lagi, program Halal@School juga merupakan usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kesedaran tentang nilai-nilai Halal dan pemakanan sihat dalam kalangan anak muda di Malaysia.

Program tersebut merangkumi sesi perkongsian, kuiz dan Perlumbaan Halal Explore Race, yang disusun khas dengan matlamat membantu murid memahami konsep Halal sebagai cara hidup berlandaskan integriti, kesejahteraan dan sikap saling menghormati.

Untuk rekod, sejak dimulakan, program ini telah diperluaskan dari tahun ke tahun melibatkan lebih 5,400 murid di 166 sekolah di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Bagi tahun 2024 sahaja, tiga siri Halal@School telah diadakan meliputi 23 sekolah di Putrajaya, Johor dan Kedah dengan penyertaan lebih 1,100 murid.

Peluasan ke Melaka membuka lembaran baharu bagi program ini, sekali gus menandakan kejayaan Halal@School berkembang maju daripada peringkat daerah ke peringkat negeri dengan penglibatan murid secara lebih meluas.

Program seterusnya dirancang pada tahun 2025, yang akan menyantuni murid-murid di wilayah Pantai Timur dan Utara menjelang penghujung tahun tersebut.

Satu ciri penting Halal@School tahun ini ialah pendekatan terangkum yang diamalkan, dengan mengalu-alukan penyertaan murid Islam dan bukan Islam.

Dengan menggalakkan pembelajaran bersama dalam persekitaran berbilang budaya, program ini membantu membina kefahaman dan empati, serta mengukuhkan nilai-nilai teras penggunaan beretika.

Menurut Pengetua SK Kerubong, Rahayu Mohd Thith, pihaknya berbesar hati kerana dipilih sebagai tuan rumah bagi program tersebut.

“Sejak kami memperkenalkan program ini, murid sangat berminat dan ramai yang ingin turut serta. Malah, ibu bapa juga berharap semua anak mereka dapat mengambil bahagian.

“Langkah mendidik murid-murid kita tentang amalan Halal dan pemakanan sihat jelas tidak mengenal fahaman atau agama,” katanya.

Tambah beliau, penting untuk memupuk gaya hidup yang menyokong kesejahteraan fizikal, kecerdasan minda dan nilai-nilai moral.

“Halal bukan sahaja mengenai kepercayaan, tetapi juga berkaitan kesihatan, sains dan keputusan bijak demi masa depan yang lebih baik.

“Kami yakin menerusi inisiatif ini, kami membina generasi pelajar yang bukan sahaja bijak dan moden, tetapi juga bertanggungjawab dan prihatin terhadap pengambilan makanan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang murid dari SK Kerubong, Nur Yasmin Arissa Khairin Mohd Raziq, berkata aktiviti kegemarannya ialah Perlumbaan Halal kerana dapat belajar sambil bermain dan memenangi hadiah.

“Mempelajari tentang amalan Halal dan pemakanan sihat penting kerana kita dapat membuat keputusan bijak berdasarkan agama dan budaya kita.

“Apa yang menjadikan program ini berbeza daripada pelajaran biasa ialah kami tidak hanya duduk dan membaca buku teks.

“Di sini, kami belajar melalui aktiviti yang menyeronokkan yang membantu meningkatkan kreativiti dan berfikir secara inovatif,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pendekatan Mencipta Nilai Bersama (Creating Shared Value), program Halal@School merupakan antara usaha berterusan Nestlé Malaysia untuk menambah baik kehidupan komuniti tempatan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat untuk membekalkan produk Halal, berkhasiat dan bermutu tinggi – dihasilkan di Malaysia, oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia – berlandaskan prinsip kelestarian.

Menerusi program seperti ini, Nestlé meneruskan misinya untuk membekalkan khasiat kepada masyarakat serta membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!