Dana tambahan SJKP RM20 bilion berita gembira untuk golongan muda miliki rumah

KUALA LUMPUR - Tambahan dana sejumlah RM20 bilion bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 dijangka bakal memberi manfaat kepada lebih ramai golongan muda untuk memiliki rumah pertama.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, secara keseluruhannya, SJKP telah meluluskan pembiayaan bernilai RM21.5 bilion sejak 2008 dan hampir 90 peratus peminjam terdiri daripada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah.
Justeru menurutnya, penambahan dana SJKP yang bakal diluluskan di Dewan Rakyat itu bakal membantu golongan muda khususnya pekerja gig untuk mendapat pembiayaan perumahan.
"Kita ada SJKP khususnya untuk golongan B40...secara keseluruhannya SJKP dah luluskan pembiayaan kepada peminjam berjumlah 90,779 dengan nilai RM21.5 bilion.
"Seramai 19,000 peminjam berumur 18 hingga 25 tahun, 31,000 peminjam (26-30 tahun), 22,356 (31-35 tahun) dan 12,799 peminjam (36-40 tahun).
"Kalau kita perhatikan Bajet yang telah dibentangkan PMX, kita boleh lihat ada kelulusan tambahan SJKP. Sejumlah RM20 bilion ditambah...Insya-ALLAH kita akan luluskan. Ini adalah salah satu berita gembira untuk anak muda memiliki rumah," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya tentang inisiatif bawah KPKT untuk menyokong golongan muda yang bekerja sendiri untuk pemilikan rumah.
Ia memandangkan terdapat kekangan berhubung sejarah kewangan yang sering dihadapi golongan tersebut untuk mendapatkan pembiayaan rumah.
Aiman Athirah menjelaskan, dana tambahan RM20 bilion turut sama bakal dimanfaatkan oleh penjawat awam dibawah lantikan kontrak.
"Tambahan tersebut termasuk dalam jaminan tambahan RM1 bilion kepada penjawat awam lantikan kontrak.
"Insya-ALLAH mudah-mudahan bajet ini akan diluluskan," katanya.
Ringkasan AI
- Tambahan dana RM20 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan diumumkan akan memberi manfaat kepada golongan muda memiliki rumah pertama
- SJKP telah meluluskan pembiayaan bernilai RM21.5 bilion sejak 2008, di mana hampir 90 peratus peminjam adalah golongan muda berumur 40 tahun ke bawah
- Penambahan dana SJKP diharap membantu pekerja gig golongan muda mendapatkan pembiayaan perumahan
- Sebanyak 90,779 peminjam telah menerima pembiayaan melalui SJKP dengan nilai RM21.5 bilion
- Dana tambahan RM20 bilion juga akan dimanfaatkan oleh penjawat awam di bawah lantikan kontrak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
