Penunggang motosikal maut dirempuh kereta

KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal maut apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 44.4 Lebuhraya Senai–Desaru, pada awal pagi Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan berkenaan pada jam 12.01 tengah malam.
“Siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira jam 12.01 tengah malam itu, mangsa berusia 43 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Desaru menuju ke Pasir Gudang.
"Dalam masa sama, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berumur 30 tahun dari arah Pasir Gudang ke Desaru telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

"Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak ke tebing jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta patah kedua-dua kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Sohaimi berkata, pemandu kereta terbabit pula dilaporkan mengalami luka di bahagian kepala dan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Lebuhraya Senai–Desaru
- Kemalangan terjadi pada awal pagi Ahad, pukul 12.01 tengah malam
- Mangsa berusia 43 tahun, menunggang motosikal Yamaha Y15ZR
- Kereta jenis Toyota Vios hilang kawalan, masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa
- Pemandu kereta mengalami luka, ditahan untuk membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
