Kampung Puah Lembah berisiko sebar wabak denggi

Peserta Gotong-Royong Wabak Denggi Bil. 3/2025 bergambar bersama selepas program berakhir - Foto DBKL
Peserta Gotong-Royong Wabak Denggi Bil. 3/2025 bergambar bersama selepas program berakhir - Foto DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kes demam denggi direkodkan di Kampung Puah Lembah, off Jalan Gombak, dalam tempoh 41 hari, menjadikan kawasan itu antara lokaliti berisiko di ibu negara.

Bagi mengekang peningkatan kes, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Gotong-Royong Wabak Denggi Bil. 3/2025 di kawasan berkenaan, melibatkan kerjasama strategik bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Alam Flora Sdn. Bhd. serta Jawatankuasa Surau Kampung Puah Lembah.

Menurut DBKL, program itu diadakan bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya wabak denggi yang kini menunjukkan peningkatan di kawasan tertentu di ibu kota.

Peserta melakukan kerja-kerja pembersihan serta cantasan pokok bagi menghapuskan potensi tempat pembiakan Aedes.- Foto DBKL
Peserta melakukan kerja-kerja pembersihan serta cantasan pokok bagi menghapuskan potensi tempat pembiakan Aedes.- Foto DBKL

"Perasmian gotong-royong disempurnakan wakil Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir. Ts. Zahir Hasan, iaitu Mohd Mazri Abdul Rahman, manakala Dr Shariza dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL turut hadir menyampaikan taklimat kesedaran kepada penduduk setempat," ujar pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan pada Ahad.

Sebanyak empat lori khas turut digunakan untuk mengangkut barang lusuh dan sisa domestik di samping kerja-kerja pembersihan serta cantasan pokok bagi menghapuskan potensi tempat pembiakan Aedes.

Menurut DBKL, program tersebut merupakan langkah proaktif sejajar dengan kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) dan iltizam Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memperkasa komuniti melalui tindakan bersama yang memberi kesan langsung kepada kualiti hidup warga kota.

DBKL dalam kenyataan sama turut menyeru setiap warga kota agar menjadikan pemeriksaan kendiri dan pelupusan barangan tidak digunakan sebagai rutin bagi memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, selamat dan bebas denggi.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lapan kes demam denggi direkodkan di Kampung Puah Lembah, off Jalan Gombak dalam tempoh 41 hari
  • DBKL melancarkan Gotong-Royong Wabak Denggi Bil. 3/2025 untuk mengekang peningkatan kes denggi di kawasan itu
  • Program diadakan untuk membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya wabak denggi
  • Empat lori khas digunakan untuk mengangkut barang lusuh dan sisa domestik untuk menghapuskan potensi pembiakan Aedes
  • DBKL menyeru warga kota menjadikan pemeriksaan kendiri dan pelupusan barangan tidak digunakan sebagai rutin untuk kekal bersih dan bebas denggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!