Pendidikan seksual perlu bermula seawal tujuh tahun

Pendedahan pendidikan seksual perlu diberikan oleh keluarga, sekolah, dan melalui program kerajaan serta NGO dengan kandungan bersesuaian umur. Gambar hiasan
Pendedahan pendidikan seksual perlu diberikan oleh keluarga, sekolah, dan melalui program kerajaan serta NGO dengan kandungan bersesuaian umur. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Pendidikan seksual secara menyeluruh dan bersesuaian dengan tahap umur perlu dimulakan seawal usia tujuh tahun bagi membendung jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja.

Pengurus Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia, G Suriakumari berkata, pendidikan seksual yang efektif bukan sahaja merangkumi aspek biologi, tetapi juga pemahaman tentang konsep persetujuan, batasan hubungan antara jantina serta pengetahuan mengenai undang-undang dan hukuman berkaitan kesalahan seks bawah umur.

Menurutnya, pendedahan itu perlu diberikan oleh pihak keluarga, sekolah dan menerusi program kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semestinya kandungan pengajaran haruslah bersesuaian dengan umur.

“Bagaimanapun, terlalu banyak kandungan pendidikan sedia ada yang tidak cukup mendalam dan hanya disentuh secara sepintas lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Suriakumari, kes jenayah seksual ini mungkin berlaku disebabkan dua faktor utama iaitu kekurangan pendedahan kepada pendidikan seksual yang mencukupi dan penggunaan internet tanpa pengawasan.

Jelasnya, oleh sebab itu pihak sekolah serta jabatan pendidikan perlu mengurangkan penggunaan pembelajaran secara dalam talian dan kembali ke sistem pembelajaran fizikal seperti sebelum era Covid-19.

“Selain itu, ahli keluarga atau penjaga tidak seharusnya menjadikan topik ini sebagai sesuatu yang sensitif.

“Mereka perlu membuka ruang supaya anak-anak berasa selesa untuk berbicara tentang perkara ini. Sejak kecil lagi, bahagian badan sepatutnya diperkenalkan dengan nama yang betul dan bukan timangan.

Artikel Berkaitan:

“Ibu bapa atau penjaga mestilah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak dan mengawasi mereka termasuk dengan siapa bergaul, ke mana pergi sekiranya bukan di sekolah atau di rumah serta apa yang dilakukan,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, penggunaan internet tanpa pengawasan perlu dielakkan sekurang-kurangnya sehingga umur 17 tahun atau lebih.

“Anak-anak juga perlu digalakkan untuk menyertai aktiviti berkumpulan kerana kemahiran sosial adalah sangat penting bagi membina keyakinan diri,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Pendidikan seksual menyeluruh perlu dimulakan pada usia tujuh tahun untuk membendung jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja
  • Efektifnya pendidikan seksual merangkumi pemahaman konsep persetujuan, batasan hubungan, dan pengetahuan tentang undang-undang
  • Pendedahan pendidikan seksual perlu diberikan oleh keluarga, sekolah, dan melalui program kerajaan serta NGO dengan kandungan bersesuaian umur
  • Kurangnya pendidikan seksual yang mencukupi dan penggunaan internet tanpa pengawasan sebagai faktor utama kes jenayah seksual
  • Pentingnya pengawasan orang tua dan penggalakan aktiviti sosial bagi anak-anak untuk membangun kemahiran sosial dan keyakinan diri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!