Gadis dakwa dijadikan 'keldai akaun' sindiket tipu jual 'mask'

Nurisah tampil membuat laporan polis mendakwa butiran dirinya disalah guna sindiket mencari pekerjaan. - Foto Astro Awani
Nurisah tampil membuat laporan polis mendakwa butiran dirinya disalah guna sindiket mencari pekerjaan. - Foto Astro Awani
A
A
A
SANDAKAN - Seorang gadis mendakwa menjadi mangsa 'keldai akaun' membabitkan transaksi wang lebih RM100,000 selepas ditipu penjual topeng muka (mask).

Astro Awani melaporkan Nurisah Haimi, 21, sebelum ini mencari iklan kerja melalui Facebook dan melihat satu iklan jawatan kosong sebagai kerani akaun secara atas talian (online).

Nurisah kemudian menghubungi nombor telefon tertera dalam iklan itu dan bercakap dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai Salma.

“Salma kemudiannya menerima saya bekerja dan berkata kerja berkenaan perlu membuat pembayaran kepada pembekal secara online.

“Dia kemudiannya meminta semua butiran saya termasuk nombor akaun bank dan berkata gaji saya dikira sebanyak RM50 setiap kali saya membuat pemindahan wang secara online.

“Pada 17 Mac, wang mula masuk ke akaun saya dan setiap kali jumlah mencecah ribuan ringgit, Salma akan menyuruh saya memindahkan wang itu ke dalam akaun INTAN SYAFINAZ (BONDA BARANG MURAH),” katanya.

Nurisah berkata, ratusan transaksi masuk ke akaunnya dengan pelbagai jumlah antaranya ada yang lebih RM10,000, RM 7,000, RM16,000 dan pernah juga RM22,879.

“Sehinggalah pada Ahad saya terkejut apabila dimaklumkan rakannya kononnya saya viral di Facebook kerana menipu sebagai penjual topeng muka.

“Saya bergegas melihat iklan Facebook itu yang tertera gambar dan nombor akaun saya kononnya saya menjual ‘face mask’.
Artikel Berkaitan:


“Baru saya sedar butiran peribadi saya digunakan untuk menipu oleh scammer dan saya terus membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan wang yang masuk ke akaunnya adalah sebanyak RM100,003 dan lebih 400 individu menjadi mangsa scammer terbabit yang menggunakan akaunnya.