Henti bedil Gaza, Israel serang Lubnan pula

BEIRUT - Israel melancarkan serangan udara ke atas selatan Lubnan pada awal pagi Sabtu ketika gencatan senjata berkuat kuasa di Genting Gaza.
Kempen pengeboman itu turut meragut satu nyawa manakala tujuh yang lain dilaporkan cedera.
"Bedilan itu telah membinasakan lebuh raya yang menghubungkan Beirut dengan bahagian selatan Lubnan. Serangan ke atas perkampungan al-Msayleh itu menyasarkan lokasi yang menjual mesin berat seperti jengkaut dan memusnahkan sejumlah besar kenderaan.
"Sebuah kenderaan membawa bekalan sayur-sayuran yang melalui kawasan itu turut dibom dan meragut satu nyawa warga Syria," menurut Kementerian Kesihatan di Beirut.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa operasi ketenteraan itu kononnya menyasarkan depot yang menempatkan jentera digunakan untuk membina semula infrastruktur milik gerakan Hizbullah.
Presiden Joseph Aoun mengutuk serangan yang menyasarkan kemudahan awam tersebut.
"Sekali lagi, selatan Lubnan jadi sasaran pencerobohan ganas tanpa alasan yang munasabah. Ia berlaku selepas perjanjian damai di Gaza dicapai," tegasnya.
Sejak perang selama 14 bulan Israel-Hizbullah berakhir pada akhir November 2024, rejim Tel Aviv tetap melanggar tempoh bertenang yang menyaksikan Beirut dihujani bom hampir setiap hari.
Sehingga akhir September lalu, sekurang-kurangnya 103 orang awam dilaporkan terkorban sejak gencatan senjata goyah itu berkuat kuasa. - AFP
Ringkasan AI
- Israel melancarkan serangan udara ke atas selatan Lubnan menyusul gencatan senjata di Genting Gaza
- Serangan itu meragut satu nyawa dan menyebabkan tujuh lain cedera
- Lebuh raya utama dan sebuah perkampungan disasarkan, memusnahkan kenderaan dan infrastruktur
- Pasukan Pertahanan Israel mengatakan sasaran serangan adalah depot Hizbullah
- Presiden Lubnan mengutuk serangan tersebut, menekankan ia berlangsung tanpa alasan munasabah setelah damai di Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

