Pahang perluas Program Anggun Suri ke 10 daerah

LIPIS - Kerajaan Pahang terus prihatin dengan memperluaskan ke 10 daerah tahun ini berbanding tiga pada tahun lepas bagi pelaksanaan Program Anggun Suri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu lebih ramai pasangan pengantin di Pahang.
“Hari ini adalah program Anggun Suri di mana 10 pasangan pengantin kahwin secara beramai-ramai yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri kecuali duit mas kahwin.
“Tahun lepas kita cuma buat tiga daerah saja. Tahun ni 10 daerah dan insya-ALLAH pada tahun depan kita akan tambah lagi," katanya.

Beliau berkata sedemikian sempena Program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) peringkat Parlimen Cameron Highlands di Laman Sejahtera Sungai Koyan, di sini pada Sabtu.
Ujarnya, jumlah pasangan juga kemungkinan bertambah berbanding 10 pasangan pengantin bagi membantu meringankan beban mereka.
"Saya mengucapkan tahniah kepada pengantin yang dapat melangsungkan perkahwinan pada hari ini dan Alhamdulillah syukur kepada ALLAH.
"Pasangan terlibat melahirkan rasa syukur, berterima kasih kerana mereka dapat melangsungkan perkahwinan lebih cepat daripada yang sepatutnya," tambahnya.
Jelas beliau, setiap pasangan pengantin yang berkahwin kali pertama turut menerima sumbangan sebanyak RM300 menerusi program Inisiatif Makmur Pahang (IMPahang) sebagai tanda kasih dan penghargaan daripada kerajaan negeri.
Secara keseluruhannya, Program Anggun Suri tahun ini melibatkan 100 pasangan pengantin dari 10 daerah, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 juta disediakan oleh kerajaan negeri.
Program tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu pasangan muda melangsungkan perkahwinan tanpa terbeban dengan kos yang tinggi serta memperkukuh pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pahang memperluas Program Anggun Suri ke 10 daerah tahun ini dari tiga daerah tahun lepas
- Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan inisiatif ini sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri membantu pasangan pengantin
- Program ini menanggung semua keperluan kahwin kecuali duit mas kahwin bagi 10 pasangan secara beramai-ramai
- Jumlah pasangan pengantin yang dibantu mungkin bertambah dalam usaha meringankan beban mereka
- Setiap pasangan pertama kali berkahwin menerima sumbangan RM300 dan program tahun ini melibatkan 100 pasangan dengan peruntukan RM1 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

