Hilang kerja selepas 5 tahun berkhidmat, PERKESO bantu penganggur bangkit semula

Muhammad Hafiz (kiri) menerima surat tawaran kerja disampaikan oleh wakil pihak gudang. Foto SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID
Muhammad Hafiz (kiri) menerima surat tawaran kerja disampaikan oleh wakil pihak gudang. Foto SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Diberhentikan kerja selepas lima tahun berkhidmat di sebuah syarikat kurier susulan penstrukturan semula organisasi memberi tamparan hebat buat bapa muda ini.

Namun, Muhammad Hafiz Mohamed Yudin, 35, kembali bangkit bekerja dengan jawatan lebih baik melalui bimbingan dan pemilihan saluran yang tepat menerusi MyFutureJobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Katanya, beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua gudang yang menguruskan operasi logistik bahagian Pantai Timur. Bagaimanapun, syarikat berkenaan memutuskan untuk mengurus operasi terus dari ibu pejabat pada Mei lalu, menyebabkan pemberhentian sebahagian pekerja termasuk dirinya.

Muhammad Hafiz menerima pampasan sewajarnya dan segera bertindak mendaftar di MyFutureJobs atas nasihat bahagian sumber manusia syarikat lama.

“Ketika membuat tuntutan insurans pekerjaan di PERKESO, pegawainya membantu saya mengisi permohonan MyFutureJobs dan memadankan kerja mengikut pengalaman.

“Tidak sampai tiga bulan, saya dapat tawaran kerja sebagai pengurus sebuah gudang pakaian ibadah dan kini dalam tempoh untuk disahkan jawatan tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs–PERKESO Lindung Anok Kelate di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), di sini, pada Sabtu.

Berbekalkan Diploma Perakaunan dari UiTM Machang dan pengalaman dalam bidang pengurusan gudang, Hafiz berkata, peluang yang diperoleh itu membuktikan keberkesanan sistem padanan kerja MyFutureJobs terutama bagi pencari kerja yang aktif.

“Ramai tak tahu sebenarnya PERKESO boleh bantu bukan setakat tuntutan apabila hilang kerja, tapi juga untuk cari pekerjaan baharu.

“Saya sendiri berharap dengan pekerjaan baharu ini, dapatlah meneruskan hidup lebih baik dan membesarkan dua anak yang masih kecil, masing-masing berusia tujuh dan empat tahun,” katanya yang berasal dari Kampung Chicha, Kubang Kerian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Datuk Asri Ab Rahman berkata, MyFutureJobs juga merupakan platform temu duga terbuka bagi memberi peluang pekerjaan dan perlindungan sosial secara terus kepada rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara jawatan dengan tawaran gaji tertinggi ialah doktor gigi iaitu antara RM10,000 hingga RM12,999, selain pelbagai jawatan profesional, teknikal dan sokongan yang terbuka kepada semua lapisan pencari kerja.

“Statistik PERKESO menunjukkan lebih 161,000 pencari kerja di Kelantan berdaftar di portal MyFutureJobs sejak 2022.

“Daripada jumlah itu, 36,330 individu berjaya memperoleh pekerjaan tetap atau sementara,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Muhammad Hafiz Mohamed Yudin diberhentikan kerja selepas lima tahun berkhidmat disebabkan penstrukturan semula syarikat kurier
  • Beliau mendapat pekerjaan baru sebagai pengurus gudang pakaian ibadah melalui MyFutureJobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
  • Syarikat lama menasihati Muhammad Hafiz untuk mendaftar di MyFutureJobs setelah menerima pampasan sewajarnya
  • MyFutureJobs berfungsi sebagai platform padanan kerja yang memadankan pekerjaan mengikut pengalaman pencari kerja
  • Statistik PERKESO menunjukkan lebih daripada 161,000 pencari kerja di Kelantan berdaftar dengan MyFutureJobs sejak 2022, dengan 36,330 individu berjaya mendapat pekerjaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!