Kadar minimum caj konsultasi kekal RM10, ringankan tekanan kewangan rakyat - Dzulkefly

Dr Dzulkefly (tengah) menunjukkan buku "National Standards in Palliative Care" pada Majlis Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) pada Sabtu. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Ahmad (dua dari kiri) dan Ketua Subkepakaran Perubatan Paliatif, Kementerian Kesihatan Dr Fazlina Ahmad (dua dari kanan). Foto Bernama
Dr Dzulkefly (tengah) menunjukkan buku "National Standards in Palliative Care" pada Majlis Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) pada Sabtu. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Ahmad (dua dari kiri) dan Ketua Subkepakaran Perubatan Paliatif, Kementerian Kesihatan Dr Fazlina Ahmad (dua dari kanan). Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar minimum caj konsultasi pengamal perubatan am (GP) kekal pada RM10 adalah sebagai langkah melindungi rakyat daripada beban kos kesihatan yang tinggi, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai insurans dan perlu membayar sendiri kos rawatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah mengekalkan harga minimum itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kemampuan rakyat untuk terus mendapatkan rawatan asas tanpa tekanan kewangan.

"Dalam apa pun polisi, ia pasti ada kesan (yang) sifatnya double-edged. Rakyat akan memandang kepada kos mereka sebab biasanya kalau yang tidak ada insurans mereka perlu tanggung (kos) sendiri, jadi ini memberi beban kepada mereka.

"Sebab itu kita (kerajaan) sangat peka bahawa harga lantai ini kita tidak naikkan dan itu adalah satu kelegaan besar kepada rakyat," katanya kepada media selepas majlis sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di sini pada Sabtu.

Dzulkefly berkata, meskipun kadar minimum dikekalkan, kerajaan menaikkan harga siling kepada RM80 untuk memberi fleksibiliti kepada pengamal GP menetapkan caj berdasarkan tahap perkhidmatan yang ditawarkan.

"Rawatan selama 10 minit untuk batuk dan selesema biasa tidak boleh disamakan dengan sesi selama 40 minit yang melibatkan ujian diabetes, kolesterol, hipertensi atau penilaian kesihatan mental.

"Dengan langkah ini, kita mahu GP lebih bertanggungjawab dan benar-benar memahami serta memantau status kesihatan pesakit secara menyeluruh," katanya.

Dzulkefly berkata, pengamal GP merupakan tulang belakang penting sistem penjagaan kesihatan primer negara (PHC) dan dengan galakan itu, mereka akan terdorong memberi perhatian lebih mendalam terhadap keadaan pesakit, termasuk dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCDs).

Beliau berkata, rakyat tidak akan berasa terbeban membayar RM10 untuk rawatan ringkas, malah mereka akan menghargai rawatan yang lebih menyeluruh apabila doktor meluangkan masa lebih lama dan memahami keadaan mereka dengan lebih mendalam.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hubungan pesakit dan doktor biasanya sangat unik, jika doktor mengenakan caj berlebihan itu akan menjadi kali pertama dan terakhir pesakit datang, tetapi jika rawatan diberikan secara menyeluruh dan berkualiti pesakit akan terus kembali.

Beliau menyifatkan langkah menaikkan harga siling itu sebagai strategi galakan halus bagi mendorong GP memberikan rawatan lebih bertanggungjawab, sambil memastikan rakyat memperoleh nilai yang sepadan dengan wang yang dibelanjakan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2026 memberitahu kerajaan menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am kepada antara RM10 hingga RM80 berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.

Namun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan yang mengekalkan kadar minimum caj konsultasi GP pada RM10 seperti termaktub dalam Jadual Fi MMA 1992, walaupun semakan dilakukan selepas 17 tahun. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kadar minimum caj konsultasi pengamal perubatan am kekal RM10 untuk melindungi rakyat daripada beban kos kesihatan tinggi
  • Langkah mengekalkan harga minimum itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kemampuan rakyat mendapatkan rawatan asas
  • Harga siling caj konsultasi naik kepada RM80 memberi fleksibiliti kepada pengamal GP menetapkan caj
  • Pengamal GP dianggap tulang belakang penting sistem penjagaan kesihatan primer dan digalakkan untuk memberi perhatian lebih mendalam terhadap keadaan pesakit
  • Perdana Menteri menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am kepada antara RM10 hingga RM80 dari RM10 hingga RM35 sebelum ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!