RM3.5 juta bantuan untuk rakyat Pahang

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan peruntukan RM3.587 juta dengan memberikan bantuan khas tunai secara secara sekali bayar kepada kira-kira 17,935 rakyat negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan membabitkan wang tunai RM150 dan barangan makanan seperti beras, tepung dan gula bernilai RM50 seorang.

Menurutnya ia akan diberikan kepada mereka yang terkesan secara langsung dan terputus sumber pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan ini bermula esok (24 Mac) dan akan diuruskan oleh Pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah.

"Perlu diingatkan mereka yang akan menerima bantuan khas ini perlu patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa. Penerima tidak perlu hadir ke mana-mana pejabat kerajaan untuk urusan bantuan ini kerana agihan bantuan akan dibuat secara terus ke rumah mereka

"Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan khas kepada setiap 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang bagi membantu secara terus rakyat yang terjejas. Jumlah keseluruhan peruntukan tersebut ialah RM252,000," katanya dalam.satu kenyataan media, petang tadi.

Wan Rosdy berkata, kerajaan turut memberikan potongan 50 peratus daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (RRM) di seluruh Negeri Pahang bagi bulan April 2020.

Inisiatif ini katanya akan memberi faedah kepada 2,453 penyewa dan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan Negeri sebanyak RM150,000.

"Golongan penjaja dan peniaga kecil pula turut diberikan potongan 50 peratus sewa bagi April 2020 untuk gerai dan lain-lain kemudahan PBT, bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan car boot sale.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja serta melibatkan implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM1.293juta," katanya.

Beliau berkata, minggu lalu, saya ada mengumumkan penerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) membabitkan seramai 2,895 penerima akan diawalkan iaitu pada 27 Mac ini tetapi JKM juga akan mempercepatkan pembayaran bagi lain-lain jenis bantuan.

"Pembayaran tersebut juga akan dibuat pada 27 Mac ini merangkumi Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Orang Tua, Bantuan Anak Pelihara dan Bantuan Latihan Perintis.

"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 26,806 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM8.95 juta," katanya.