X

Kindly register in order to view this article
!

Enam ditahan disyaki terlibat kes pecah rumah, samun

Barang yang dirampas daripada tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun kedai runcit. Gambar kecil: Arifai Tarawe
A
A

KEPONG - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah rumah dalam sekatan jalan raya Covid-19 di Jalan Utama Indah Perdana di sini jam 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua mereka berusia antara 32 hingga 42 tahun yang menaiki kereta Perodua Myvi sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan pelbagai barang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

"Suspek ditahan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 7 di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

Arifai turut memaklumkan IPD Gombak berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun kedai runcit.

"Pekerja kedai membuat laporan polis mengenai kesemua suspek yang menaiki sebuah Proton Wira dan seorang daripadanya bertindak mengacu pisau di perut pengadu sebelum melarikan barangan.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Selayang telah membuat serbuan di kawasan Jalan 23 Selayang Baru dan menahan kenderaan dinaiki suspek.

"Hasil pemeriksaan berjaya menahan suspek berusia 27 hingga 29 tahun serta barang rampasan. Kesemua suspek memiliki rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!