Punca kematian lelaki disumbat dalam beg disebabkan lemas - Polis

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan punca kematian seorang lelaki yang ditemui di dalam beg dengan kesan kelar di leher serta tangan diikat di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh adalah akibat lemas (suffocation).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ts Azizee Ismail berkata, perkara itu disahkan hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Pulau Pinang.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat ditemui dalam beg, dengan keadaan leher cedera, tangan diikat, dan kepala diserkup menggunakan plastik.
“Polis masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dibungkus dan dicampak di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Azizee turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar segera menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 samb. 2275 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk membantu siasatan dan membawa pelaku ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan identiti mayat lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Lee Boon Han, 31, yang bekerja sebagai ejen insurans.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang pada 8 Oktober selepas keluar ke Perlis atas urusan kerja dan tidak dapat dihubungi. Berikutan itu, bapa mangsa, 69, seorang peniaga, tampil membuat laporan polis.
Pada pagi Jumaat, bapa mangsa hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya bagi proses pengecaman mayat. Lelaki warga emas itu dilihat sebak sebaik keluar dari bilik mayat dan hanya mengangguk kepada ahli keluarga serta kenalan selepas mengesahkan mayat tersebut adalah anaknya.
Ringkasan AI
- Polis mengesahkan lelaki ditemui dalam beg di Flat Ampang Jajar mati akibat lemas
- Bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Pulau Pinang
- Mayat ditemui dengan leher cedera, tangan diikat, dan kepala diserkup plastik
- Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Mangsa dikenal pasti sebagai Lee Boon Han, ejen insurans yang dilaporkan hilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

