Penjawat awam sahut cabaran terus percepat proses kerja - KSN

 Shamsul Azri
Shamsul Azri
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 untuk terus mempercepatkan proses dan prosedur kerja, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, perkhidmartan awam akan berusaha untuk merekayasa semula sistem, meruntuhkan tembok silo antara agensi dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.

"Sesungguhnya, kami mengenggam tekad untuk bersama-sama merealisasikan pelaksanaan strategi Belanjawan 2026,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas mengenai belanjawaan keempat Madani itu, Shamsul Azri berkata, sembilan tekad yang diumumkan memberi mesej jelas bahawa kerajaan berusaha mengangkat ekonomi negara untuk terus mampan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran domestik dan global.

"Satu pembentangan yang sarat dengan intipati dan tekad yang jelas bagi memberi penekanan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat, penumpuan kepada pembangunan sektor-sektor ekonomi, program meningkatkan pendapatan rakyat dan pelbagai prakarsa untuk membantu rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 adalah satu berita yang amat disambut baik oleh seluruh jentera perkhidmatan awam negara.

"Ini dapat meningkatkan motivasi untuk terus komited melaksanakan tugas serta memperkasa penyampaian perkhidmatan awam.

"Saya mewakili seluruh keluarga perkhidmatan awam ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan dan menghargai khidmat penjawat awam dengan pelbagai inisiatif penambahbaikan,” katanya.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan pemberian BKK sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak yang akan disalurkan pada Mac 2026 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengumumkan beberapa kemudahan lain sebagai penghargaan kepada seluruh penjawat awam, yang saban hari menjalankan amanah serta berkhidmat menjayakan dasar-dasar MADANI demi kesejahteraan rakyat.

Antaranya, RM2.2 bilion bagi menambah baik perumahan penjawat awam, perluasan pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada kumpulan pengurusan dan profesional, elaun sara hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa serta bayaran khas sebanyak RM500 kepada hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Penjawat awam menyambut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan proses dan prosedur kerja dalam pembentangan Belanjawan 2026
  • Perkhidmatan awam berusaha untuk merekayasa semula sistem, meruntuhkan silo antara agensi, dan fokus kepada kesejahteraan rakyat
  • Belanjawan 2026 berusaha mengangkat ekonomi negara yang mampan, inklusif dan berdaya tahan menghadapi cabaran
  • Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 56 ke bawah sebagai dorongan motivasi
  • Perdana Menteri mengumumkan kemudahan tambahan untuk penjawat awam termasuk RM2.2 bilion untuk perumahan dan elaun sara hidup RM900

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!