Belanjawan 2026: Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion

Peruntukan TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 berikutan lebih ramai bakat tempatan bidang tersebut diperlukan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi. - Gambar hiasan
Peruntukan TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 berikutan lebih ramai bakat tempatan bidang tersebut diperlukan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah dinaikkan kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026, meningkat daripada RM7.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan lebih ramai bakat tempatan bidang TVET diperlukan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi.

Justeru, beliau berkata, peluang pendidikan dan latihan TVET ditingkatkan khususnya dalam menyokong sektor berkeutamaan tinggi.

"Majlis TVET Negara menerima RM45 juta antaranya bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti.

"Institusi TVET KPM disediakan RM1.3 bilion untuk mendidik 79,000 orang penuntut TVET," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, HRD Corp dengan dana RM3 bilion menawarkan tiga juta peluang latihan terutamanya bagi sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga.

Menurutnya, PTPK pula menyediakan pembiayaan RM650 juta untuk manfaat lebih 25,000 pelatih terutamanya bidang Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), AI, kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.

"Jabatan Pembangunan Kemahiran melalui Program Akademi Dalam Industri melatih dan menyediakan peluang kerjaya bagi mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah dengan peruntukan RM34 juta," ujarnya.

Tambahnya, GiatMara menawarkan latihan kepada lebih 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Kolej Komuniti pula menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk komuniti rentan seperti orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli.

Anwar berkata, kemudahan institusi TVET turut dinaik taraf seperti membina hangar baharu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam untuk penyelenggaraan kapal terbang dan membina Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di UMT untuk bidang maritim dalam menyokong pembangunan ekonomi biru.

"Sebuah kolej vokasional baharu akan dibangunkan di Sabah," katanya.

Ringkasan AI

  • Peruntukan untuk TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026
  • Perdana Menteri menyatakan keperluan mendesak bakat tempatan dalam bidang TVET bagi industri berpertumbuhan tinggi
  • Majlis TVET Negara menerima RM45 juta untuk menerapkan teknologi digital dan AI kepada pelajar tahfiz dan pondok
  • HRD Corp menawarkan tiga juta peluang latihan dengan dana RM3 bilion utamanya dalam sektor teknologi tinggi
  • Sebuah kolej vokasional baharu akan dibangunkan di Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!