Jurujual maut nahas dua motosikal

JOHOR BAHRU – Seorang jurujual wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Kilometer (KM) 25.8 Lebuhraya Pasir Gudang di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 11.10 malam ketika wanita warga tempatan berusia 20 tahun itu dalam perjalanan menghala ke Pasir Gudang.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dikatakan hilang kawalan dan terjatuh. Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Penunggang motosikal Y15 iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi kemalangan boleh menghubungi polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang jurujual wanita maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang
- Kemalangan melibatkan dua motosikal berlaku pada jam 11.10 malam
- Mangsa hilang kawalan dan terjatuh sebelum dilanggar motosikal Yamaha Y15
- Wanita berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

