Brilliant Solar lantik dua penasihat bagi rancangan penyenaraian di Singapura

(Dari kiri) Jeff Chin, Datuk Cannis Chan, Brian Liew Kok Woi, Jerry Chua, Damon Chan dan Alex Choo.
(Dari kiri) Jeff Chin, Datuk Cannis Chan, Brian Liew Kok Woi, Jerry Chua, Damon Chan dan Alex Choo.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penyedia tenaga solar terkemuka di Malaysia, Brilliant Solar Sdn Bhd, melantik MCI Capital dan Evolve Capital Advisory sebagai penasihat bagi meneroka potensi penyenaraian syarikat itu di Singapura.

Langkah tersebut menandakan pencapaian penting buat Brilliant Solar dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan serta memanfaatkan permintaan tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat di rantau ini.

Pengarah Urusannya, Brian Liew Kok Woi berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen syarikat untuk terus berkembang dan memperkukuh kedudukan sebagai jenama tenaga bersih terkemuka di Asia Tenggara.

“Kami berbesar hati mencapai tahap ini dalam perjalanan pertumbuhan syarikat. Ini merupakan peristiwa penting yang menzahirkan komitmen kami untuk menjadikan Brilliant Solar jenama terkemuka bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Singapura dan seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.

Brian berkata, kerjasama dengan dua firma penasihat berkenaan adalah langkah strategik ke hadapan bagi memperkukuh keupayaan syarikat serta memperluas penggunaan tenaga mampan di rantau ini.

BRIAN LIEW KOK WOI
BRIAN LIEW KOK WOI

Ditubuhkan pada 2008, Brilliant Solar menawarkan penyelesaian tenaga solar menyeluruh termasuk pembangunan tenaga, kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC), khidmat perundingan, pemasangan serta penyelenggaraan bagi pelanggan kediaman, komersial dan industri.

Syarikat itu dilesenkan di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) dan memiliki pensijilan MyHIJAU, sekali gus menegaskan pematuhan kepada piawaian hijau negara. Setakat ini, ia telah menyiapkan projek di lebih 3,500 lokasi di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Rancangan penyenaraian di Bursa Saham Singapura (SGX) bertujuan meningkatkan akses kepada pasaran modal antarabangsa serta memperkukuh keupayaan pembiayaan projek solar berskala besar di dalam dan luar negara.

Perkongsian strategik kukuh

Kerjasama dengan MCI Capital dan Evolve Capital Advisory, yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam perbankan pelaburan dan pengumpulan dana rentas sempadan, menggariskan komitmen Brilliant Solar untuk membina asas kukuh bagi fasa pengembangan seterusnya.

Pengerusi dan Rakan Kongsi MCI Capital, Datuk Cannis Chan berkata, Brilliant Solar merupakan syarikat mapan dengan prospek pertumbuhan kukuh dan berpotensi menarik minat pelabur antarabangsa, khususnya di SGX.

(Depan dari kiri) Pengerusi dan Rakan Kongsi MCI Capital, Datuk Cannis Chan; Pengarah Urusan Brilliant Solar, Brian Liew Kok Woi; dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Rakan Kongsi Pengurusan Evolve Capital Advisory, Jerry Chua, pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penglibatan Pra-IPO Brilliant Solar di Singapura.
(Depan dari kiri) Pengerusi dan Rakan Kongsi MCI Capital, Datuk Cannis Chan; Pengarah Urusan Brilliant Solar, Brian Liew Kok Woi; dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Rakan Kongsi Pengurusan Evolve Capital Advisory, Jerry Chua, pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penglibatan Pra-IPO Brilliant Solar di Singapura.

“Brilliant Solar telah membuktikan keupayaan operasi dan pasaran mereka. Fokus terhadap penggunaan komponen berkualiti tinggi, pemasangan bertauliah serta jaminan kukuh bukan sahaja mengurangkan risiko pelanggan, malah memastikan prestasi jangka panjang serta penjimatan tenaga yang boleh diukur,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian pembiayaan yang ditawarkan Brilliant Solar turut menjadikan penggunaan tenaga solar lebih mudah dicapai sambil mengoptimumkan pulangan pelaburan.

Chan menambah, MCI Capital melalui Dana IPO Asia akan memainkan peranan penting menyokong pengembangan Brilliant Solar melepasi pasaran Malaysia melalui penyediaan modal strategik, kepakaran tadbir urus dan akses pasaran serantau.

“Kami akan menawarkan modal strategik dan kepakaran bagi memperkukuh trajektori pertumbuhan jangka panjang mereka melalui pembiayaan mampan, skalabiliti operasi dan perkongsian yang meningkatkan daya saing di seluruh ASEAN,” jelasnya.

Fokus kepada tadbir urus dan ketelusan

Sementara itu, Evolve Capital Advisory menyatakan kerjasama dengan Brilliant Solar sejajar dengan misinya membangunkan syarikat berdaya saing masa depan yang dipimpin usahawan berwawasan.

“Kami memilih bekerjasama dengan Brilliant Solar kerana rekod prestasi kukuh dan komitmen jelas terhadap kemajuan tenaga bersih. Kerjasama ini akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya termasuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan penglibatan pihak berkepentingan,” katanya.

Firma itu akan membantu Brilliant Solar membina kerangka tadbir urus korporat yang kukuh serta memastikan penjajaran dengan amalan kawal selia terbaik menjelang penyenaraian di SGX.

Dengan pelantikan dua penasihat strategik berkenaan, Brilliant Solar berada pada kedudukan terbaik untuk memperkukuh kedudukan sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara, memperluas operasi dan menyumbang kepada usaha Malaysia beralih ke arah tenaga mampan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!