Buli siber: MCMC turunkan 27,704 kandungan setakat 1 Oktober - Nie Ching

Nie Ching (dua dari kiri) melawat reruai pameran SKMM sempena Program Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Sembilan di SJKC Bandar Seri Sendayan di Seremban pada Khamis. Foto: Bernama
Nie Ching (dua dari kiri) melawat reruai pameran SKMM sempena Program Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Sembilan di SJKC Bandar Seri Sendayan di Seremban pada Khamis. Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan 27,704 kandungan berkaitan buli siber daripada keseluruhan 35,781 aduan yang diterima bagi tempoh Januari hingga 1 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding 8,756 kandungan buli siber diturunkan daripada 11,385 aduan yang diterima sepanjang 2024.

"Hal ini bermakna jumlah kandungan yang diturunkan pada tahun ini hampir 3.2 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan tahun lepas dan kita lihat buli siber ini merupakan trend yang merisaukan bukan sahaja semakin meluas, tetapi menjejaskan masyarakat, khususnya pelajar dan golongan muda.

"Statistik ini menekankan betapa pentingnya kita mengambil tindakan proaktif melalui pendidikan digital, kesedaran awam dan pemantauan berterusan terhadap kandungan dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata penting untuk membina daya tahan dalam kalangan generasi muda bagi menghadapi ancaman buli siber termasuk melalui pelaksanaan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan pengetahuan mereka tentang keselamatan dalam talian.

"Di sebalik manfaat internet dan media sosial, masyarakat turut berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan digital termasuk buli siber, penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, perjudian digital dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat semalam, sebanyak 4,511 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan Kempen Internet Selamat membabitkan lebih 227,000 pelajar, guru dan pihak berkaitan dengan Negeri Sembilan merupakan negeri pertama selesai melaksanakan kempen itu di semua 479 sekolah.

Nie Ching berkata kempen itu akan diteruskan secara berperingkat di sekolah seluruh negara bagi mendidik pelajar menghadapi cabaran dunia digital sekali gus membudayakan penggunaan internet positif, selamat dan bertanggungjawab demi kesejahteraan negara.

Beliau turut menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjadikan kempen terbabit sebagai titik permulaan ke arah pembudayaan penggunaan internet secara selamat, bertanggungjawab dan beretika. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • MCMC menurunkan 27,704 kandungan berkaitan buli siber dari 35,781 aduan yang diterima
  • Jumlah kandungan buli siber yang diturunkan pada tahun ini hampir 3.2 kali ganda lebih tinggi berbanding tahun lepas
  • Timbalan Menteri Komunikasi menekankan pentingnya tindakan proaktif seperti pendidikan digital dan kesedaran awam terhadap buli siber
  • Kempen Internet Selamat dilaksanakan untuk meningkatkan pengetahuan generasi muda tentang keselamatan dalam talian
  • Sebanyak 4,511 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan Kempen Internet Selamat, melibatkan lebih 227,000 pelajar, guru, dan pihak berkaitan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!