Hajiji ingatkan jentera PRN17 kritikal untuk GRS

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di SICC, Kota Kinabalu.
Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini sebagai yang paling kritikal untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, PRN kali ini amat mencabar berikutan pelbagai tekanan daripada pihak pembangkang yang giat menyebarkan dakyah dan penipuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Justeru, katanya, kerjasama semua pimpinan termasuk Ketua Bahagian amat penting bagi memastikan kemenangan GRS dan rakan kerjasamanya, Pakatan Harapan (PH), pada pilihan raya negeri tersebut.

“Kita akan menghadapi pilihan raya yang paling kritikal, jadi saya minta semua Ketua Bahagian dan pimpinan empat peringkat Gagasan Rakyat supaya membantu calon yang dipilih oleh parti, serta calon yang ditetapkan rakan kita, PH.

“Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya tahu kita menghadapi tekanan yang hebat, lebih-lebih lagi saya sendiri, termasuk dalam soal memilih calon.

“Tetapi, kita mesti ada tolak ansur dan pengorbanan. Apa juga keputusan parti, kita mesti junjung dan hormati, serta beri kerjasama kerana yang penting ialah kita mesti menang dan kekal menjadi kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, turut mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan GRS bersama PH untuk kembali diberi mandat pada PRN17.

“Kita sudah sedia dengan jentera pilihan raya GRS dan saya amat yakin jika kita bersatu, kita akan mencapai kejayaan pada pilihan raya nanti,” katanya sambil memaklumkan bahawa pelancaran jentera GRS akan diadakan pada pertengahan Oktober ini.

Katanya, sepanjang lima tahun memerintah, kerajaan GRS telah berusaha melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah dengan sebaik mungkin, malah banyak kejayaan telah dilakar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, pembangkang sengaja menafikan kejayaan tersebut serta menabur pelbagai tohmahan terhadap kerajaan termasuk dirinya selaku Ketua Menteri.

“Pembangkang menabur pelbagai tuduhan terhadap kita, khususnya terhadap saya yang dituduh siang dan malam. Mereka kata kerajaan ini gagal, tetapi apa yang gagal jika kita mampu mentadbir negeri dengan baik serta memperkenalkan hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah?

“Gagalkah kita kalau dulu kutipan hasil negeri hanya RM4 bilion, tetapi kini meningkat kepada RM7 bilion dan tahun depan dijangka lebih daripada RM7 bilion?

“Gagalkah kita apabila berjaya memeterai perjanjian dengan Petronas hingga banyak manfaat dapat diperoleh untuk memajukan industri minyak dan gas negeri?

“Dulu, amat sedikit syarikat tempatan Sabah yang terlibat, tetapi hasil perjanjian dengan Petronas, kini lebih 100 syarikat tempatan Sabah diberi peluang oleh syarikat tersebut,” katanya.

Ringkasan AI

  • PRN17 dianggap kritikal untuk Gabungan Rakyat Sabah oleh Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor
  • Hajiji menekankan pentingnya kerjasama semua pimpinan untuk menghadapi tekanan dari pembangkang
  • GRS dan PH diharapkan dapat memenangi pilihan raya dengan bantuan pimpinan dan jentera pilihan raya
  • Hajiji mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan GRS dan PH untuk memenangi mandat pada PRN17
  • Beliau membantah tuduhan pembangkang, menunjukkan kejayaan GRS dalam memajukan ekonomi Sabah dan meningkatkan kutipan hasil negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!