Bas bawa 34 pelajar rempuh lori

KUALA KRAI – Sebuah bas persiaran yang membawa 34 pelajar dan enam guru merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 63, Jalan Kota Bharu–Gua Musang, berhampiran kawasan Eco Park di sini pada Rabu.
Bagaimanapun kesemua penumpang termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi.
"Siasatan awal mendapati bas yang dinaiki pelajar dan guru Sekolah Menengah Sri Gunong, Bachok itu dalam perjalanan ke Cameron Highlands.
"Setiba di lokasi, bas berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pelanggaran itu dipercayai berlaku apabila lori berkenaan membrek dan bas terbabit gagal mengekalkan jarak selamat sebelum merempuh belakang kenderaan tersebut.
Ujarnya, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan.
Mazlan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-9666222 atau hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai,” katanya.
Ringkasan AI
- Sebuah bas persiaran membawa 34 pelajar dan enam guru terlibat dalam kemalangan dengan lori di Jalan Kota Bharu-Gua Musang
- Kesemua penumpang dan pemandu bas selamat tanpa kecederaan
- Bas tersebut dalam perjalanan ke Cameron Highlands sewaktu kemalangan berlaku
- Pelanggaran itu berlaku kerana bas gagal mengekalkan jarak selamat dengan lori yang membrek tiba-tiba
- Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

