Sokongan dunia terhadap Palestin semakin besar

Misi Global Sumud Flotilla (GSF) antara usaha untuk memecahkan sekatan Israel bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza. Foto: Sumud Nusantara Official
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) antara usaha untuk memecahkan sekatan Israel bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza. Foto: Sumud Nusantara Official
A
A
A

SHAH ALAM - Sokongan masyarakat dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin kini jauh berbeza berbanding dua tahun lalu ketika serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, masyarakat dunia kini semakin memahami realiti sebenar kekejaman Israel yang jelas menunjukkan ciri-ciri genosid dengan menyaksikan penderitaan dan kemusnahan luar biasa di wilayah itu.

Menurutnya, perubahan tersebut bukan sahaja melibatkan rakyat biasa, tetapi turut berlaku dalam kalangan kerajaan Barat yang kini semakin berani menyatakan sokongan terhadap Palestin.

“Setelah dua tahun, kita lihat adanya satu anjakan besar-besaran untuk memahami apa yang dipanggil hak Palestin ini dan juga terdedahnya Israel sebagai negara pengganas.

“Barat juga sudah mulai menyatakan sokongan kepada Palestin, saya kira politik dunia dalam isu Palestin ini sudah berubah,” katanya.

Mohd Azmi berkata, ketika ini Israel semakin bergantung kepada sokongan Amerika Syarikat (AS), manakala beberapa sekutu rapat seperti Kanada dan United Kingdom dilihat sudah mula mengubah pendirian.

“Kalau tekanan itu diberi betul-betul kepada AS, saya kira Israel akhirnya terpaksa menerima tuntutan untuk menghentikan serangan Gaza, menamatkan kepungan ke atas Gaza dan juga banyak dasar-dasar lain mungkin akan berubah,” jelasnya.

Bagaimanapun, Mohd Azmi berpandangan langkah itu belum mencukupi sekiranya tidak diikuti tindakan lanjut bagi memastikan keadilan terhadap rakyat Palestin benar-benar terlaksana.

“Kita desak supaya pengiktirafan tidak hanya terhenti kepada mengisytiharkan saja tetapi mesti bertindak selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya bagaimana nak mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Israel kena patuh kepada keputusan tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut, Mohd Azmi menjelaskan gerakan flotilla merupakan kesinambungan daripada usaha masuk melalui darat yang semakin sukar dilakukan apabila Mesir enggan membuka sempadan Rafah bagi laluan bantuan.

Disebabkan itu, aktivis dan sukarelawan tidak mempunyai pilihan melainkan menggunakan laluan laut bagi memecahkan sekatan Israel sejak 2007.

Ringkasan AI

  • Sokongan masyarakat dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin meningkat berbanding dua tahun lalu
  • Masyarakat dunia kini lebih memahami kekejaman Israel yang menunjukkan ciri-ciri genosid
  • Perubahan sikap juga berlaku dalam kalangan kerajaan Barat yang kini lebih berani menyatakan sokongan kepada Palestin
  • Israel sangat bergantung pada sokongan Amerika Syarikat sementara beberapa sekutunya seperti Kanada dan United Kingdom mula mengubah pendirian
  • Pendekatan melalui gerakan flotilla diambil sebagai kesinambungan usaha membantu Gaza kerana mesir enggan membuka sempadan Rafah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!