Pancing amal Kempen Tabung Pahlawan tawar hadiah RM50,000

Antara ikan yang berjaya dipancing dalam pertandingan yang diadakan di Pantai Tambak Klebang sebelum ini. Gambar kecil: Salim
Antara ikan yang berjaya dipancing dalam pertandingan yang diadakan di Pantai Tambak Klebang sebelum ini. Gambar kecil: Salim
A
A
A

MELAKA – Hadiah wang tunai hampir RM50,000 menanti pemenang Pertandingan Memancing Amal sempena Kempen Tabung Pahlawan anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pantai Tambak Klebang di sini pada Sabtu ini.

Juara akan menerima RM25,000, naib juara RM4,000 dan tempat ketiga RM2,000.

Pemenang tempat keempat hingga ke-20 akan menerima RM250, tempat ke-21 hingga ke-50 akan membawa pulang RM200, manakala tempat ke-51 hingga ke-100 masing-masing bakal menerima RM150.

Jurucakap penganjur, Leftenan Kolonel Salim Ibrahim berkata, acara itu turut menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai RM10,000 yang meliputi pelbagai barangan termasuk televisyen, kotak penyejuk dan peralatan memancing.

“Ini adalah julung kali JHEV menganjurkan pertandingan memancing di Tambak Klebang. Acara ini akan dikendalikan oleh Joran Unggul Event Management yang berpengalaman luas dalam menganjurkan pertandingan memancing di Melaka, khususnya di Tambak Klebang.

“Yuran penyertaan sebanyak RM100 bagi satu joran akan disalurkan ke Tabung Pahlawan sebagai tanda sokongan kepada para veteran dan wira negara. Peserta boleh memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.

“Kaunter pendaftaran secara dalam talian telah dibuka menerusi pembayaran terus ke akaun Joran Unggul, manakala pendaftaran di lokasi akan bermula jam 3 petang pada 10 Oktober,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Salim berkata, pihak penganjur turut menawarkan 500 helai baju-T berlengan panjang kepada peserta yang mendaftar awal.

Tambah beliau, Pantai Tambak Klebang yang merupakan kawasan tanah tambak mengunjur hampir dua kilometer dari pantai asal adalah lokasi terbaik bagi aktiviti memancing kategori pantai di Melaka.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, memancing di Tambak Klebang ibarat memancing di laut dalam kerana pelbagai spesies ikan bersaiz besar menghuni kawasan itu termasuk pari, jenahak, kerapu, bawal emas, ikan parang dan mayong.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kempen Tabung Pahlawan merupakan satu mekanisme bagi memperkenalkan tabung berkenaan kepada masyarakat, membentuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta mengumpul dana bagi membantu veteran tentera yang memerlukan.

Katanya, berdasarkan rekod, terdapat seramai 117,174 orang veteran tentera berpencen, 72,336 veteran tidak berpencen dan 31,954 penerima pencen terbitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!