Nozel pam RON95 dicabut kerana kebocoran, bukan kehabisan stok

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor menafikan dakwaan bahawa sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Pelangi di sini kehabisan bekalan petrol RON95, sebaliknya tindakan mencabut ‘nozel’ dilakukan susulan kebocoran pada tangki utama bawah tanah.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, siasatan dijalankan anggota penguat kuasa kira-kira jam 2 petang Ahad, susulan aduan awam yang diterima dan tular di media sosial.
“Menerusi percakapan dengan pengurus stesen, beliau memaklumkan bahawa ada nozel RON95 dicabut disebabkan berlaku kebocoran pada tangki utama bawah tanah.
“Lapan nozel tiada di pam (telah dicabut), iaitu pam nombor 3, 4, 7, 8, 11, 12, 13 dan 14. Laporan berhubung isu ini juga telah dikemukakan kepada KPDN Putrajaya pada Julai lalu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau menjelaskan langkah itu bertujuan mengelakkan kekeliruan pelanggan yang mungkin menyangka bekalan RON95 habis, sedangkan ia berpunca daripada masalah teknikal pada tangki.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana terdapat lapan pam lain iaitu nombor 1, 2, 5, 6, 9, 10, 15 dan 16 yang masih beroperasi seperti biasa dan penjualan RON95 diteruskan,” katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai rungutan pengguna terhadap sebuah stesen minyak di Pasir Pelangi di sini yang didakwa menanggalkan beberapa nozel pam RON95.
Tular juga dakwaan bahawa tindakan itu mungkin dilakukan bagi menghadkan penggunaan RON95 kepada kenderaan berplat Malaysia sahaja, dan bukan untuk kenderaan pendaftaran Singapura.
Ringkasan AI
- JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor menafikan dakwaan sebuah stesen minyak kehabisan bekalan RON95 sebaliknya kebocoran pada tangki utama bawah tanah
- Siasatan dilakukan susulan aduan awam dan kebimbangan yang tular di media sosial
- Nozel RON95 dicabut akibat kebocoran tangki, lapan nozel tidak beroperasi adalah pam nombor 3, 4, 7, 8, 11, 12, 13 dan 14
- Langkah mencabut nozel diambil untuk mengelak kekeliruan pelanggan tentang bekalan RON95
- Terdapat lapan pam lain yang masih beroperasi dan penjualan RON95 diteruskan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

