Ibu mentua pemain bola sepak antara 5 ditahan kes palsu cap pasport

GOMBAK – Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita yang juga ibu mentua kepada seorang pemain bola sepak bagi membantu siasatan kes pemalsuan cap pasport imigresen baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan pada 1 Oktober lalu membabitkan empat lelaki warga Pakistan dan seorang wanita tempatan.
“Kesemua tangkapan masih ditahan reman sehingga Rabu depan.
“Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada Ahad.
Tangkapan dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Ia hasil maklumat risikan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen yang dipercayai beroperasi di sekitar Gombak sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, pemeriksaan di lokasi serbuan di sebuah kediaman telah menemui pelbagai cap rasmi membabitkan beberapa negara, termasuk Pakistan, Indonesia dan Malaysia yang dipercayai digunakan untuk memalsukan dokumen perjalanan.
Ringkasan AI
- Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita ibu mentua pemain bola sepak di Gombak untuk kes pemalsuan cap pasport imigresen
- Tangkapan melibatkan empat lelaki Pakistan dan seorang wanita tempatan pada 1 Oktober
- Kesemua individu ditahan reman hingga Rabu depan dan kes di bawah siasatan Seksyen 420 Kanun Keseksaan
- Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Gombak berdasarkan maklumat risikan
- Serbuan di kediaman menemui cap rasmi beberapa negara dipercayai untuk pemalsuan dokumen perjalanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
