Pengantin baharu pakai baju nikah ke konsert Inteam

SHAH ALAM – Sepasang suami isteri memilih cara unik untuk meraikan detik bahagia selepas perkahwinan mereka apabila tampil mengenakan baju nikah ke konsert Inteam kira-kira seminggu selepas diijabkabulkan.
Pasangan pengantin baharu yang masing-masing merupakan kaunselor pendidikan University of Cyberjaya, Ahmad Kamil Rozali, 31, dan isterinya, Sharifah Shairah Wafa Syed Fakhri, 25, menghadiri konsert kumpulan nasyid terkenal itu pada 28 September lepas.
Menurut Sharifah Shairah Wafa, idea itu tercetus secara spontan ketika mereka berbual santai mengenai pakaian yang sesuai untuk ke konsert.
"Kami sebenarnya tidak pernah ke mana-mana konsert sebelum ini dan konsert Inteam adalah konsert pertama kami.
"Ketika sedang berborak kosong, tiba-tiba terdetik hendak pakai baju nikah sebab baru sahaja bernikah 20 September lepas, manakala konsert pada 28 September," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Justeru, katanya, mereka berdua mengakui tidak menjangka ia akan menjadi tular di media sosial hingga meraih sehingga 1.4 juta tontonan.
"Sejujurnya, tidak sangka langsung sebab suami fikir dia pakai baju Melayu biasa sahaja, semua orang pun pakai baju Melayu, cuma kami warna putih.
"Kami hanyalah untuk menikmati masa berdua dan mencipta memori," ujar Sharifah Shairah Wafa lagi.
Sementara itu, Ahmad Kamil menjelaskan tiket konsert berkenaan merupakan hadiah hari lahir buat isterinya yang jatuh sehari selepas majlis pernikahan.
"Kami nikah sehari sebelum hari lahir isteri saya. Tiket itu saya jadikan hadiah ulang tahun kelahirannya sebab konsert itu pun bertemakan kasih dan liriknya banyak menceritakan percintaan selepas nikah.
"Jadi, kami hendak jadikan kenangan melihat konsert bersama-sama sebagai memori untuk dikenang dan tidak sangka viral," katanya.
Tambahnya, mereka memilih untuk menikmati persembahan tersebut sebagai simbol kasih sayang berlandaskan syariat dan menjadikan momen itu sebagai kenangan manis.
Ahmad Kamil yang merupakan peminat Inteam menyifatkan, pengalaman melihat konsert terbabit amatlah berbaloi dan menyeronokkan.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri mengenakan baju nikah ke konsert Inteam selepas seminggu diijabkabulkan
- Pasangan itu adalah kaunselor pendidikan di University of Cyberjaya
- Idea mengenakan baju nikah ke konsert tercetus secara spontan
- Tindakan mereka menjadi tular di media sosial dengan 1.4 juta tontonan
- Tiket konsert adalah hadiah hari lahir isteri yang bertemakan kasih dan lirik percintaan selepas nikah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

