'Geng masjid' harap kerajaan pertimbang kenaikan elaun

JOHOR BAHRU - Isu kebajikan seperti kenaikan elaun khususnya melibatkan ‘geng masjid’ seperti siak, imam dan pengerusi perlu diberikan perhatian ketika Belanjawan 2026 kali ini.
Menurut Siak Masjid Al-Jawahir Taman Mutiara Rini, Hanifah Hussein, 62, dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi, elaun dan gaji diterima seharusnya disesuaikan dengan keadaan semasa.
“Bagi kami yang menjalankan tugas sebagai siak, selain memainkan peranan menjaga kebersihan rumah ALLAH, kami turut berdepan cabaran besar.
“Antara cabaran utama kami adalah dari segi menjaga kebersihan masjid kerana isu ini adalah salah satu tanggungjawab diamanahkan selain semua jemaah.
“Anak-anak muda perlu ada kesedaran menjaga kebersihan ini tuntutan agama. Harap semua dapat mainkan peranan menjaga kebersihan.
“Jadi, saya berharap elaun atau tangga gaji kami sebagai siak atau ‘dojer’ dapat diselaraskan mengikut keadaan semasa,” katanya.
Pendapat itu dipersetujui imam masjid berkenaan, Alihadi Alrisi Abd Samat, 36, yang menyifatkan kenaikan elaun kepada petugas serta pegawai masjid sememangnya wajar dilaksanakan.
Katanya, perkara tersebut perlu dikaji semula supaya satu penyelarasan kadar pemberian elaun dapat dilaksanakan.
“Selain elaun, cabaran utama menguruskan masjid dan surau adalah lebih kepada kos utiliti antaranya bil elektrik, air dan juga bayaran program dakwah seperti kuliah Maghrib, kuliah bulanan Subuh, program Semarak Subuh dan sebagainya.
“Selain itu, ada juga peruntukan kepada golongan fakir miskin yang datang meminta bantuan dan pihak masjid ada mengeluarkan sedikit peruntukan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid, Muhammad Ridwanto Syaful Anwar, 46, berkata, kenaikan elaun sememangnya wajar dilaksanakan sebagai pengiktirafan terhadap peranan petugas serta pegawai masjid yang selama ini berkhidmat menguruskan masjid atau surau sepanjang masa.
Malah katanya, selain kenaikan elaun imam, bilal, siak, elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) juga wajar ditingkatkan kerana mereka bukan sahaja menggalas tugas sebagai pemimpin dalam komuniti, malah menjadi rujukan utama masyarakat setempat.
“Selain itu, masjid juga berdepan kos operasi semakin meningkat kerana ia kini berfungsi sepanjang masa.
“Subsidi bagi menampung perbelanjaan utiliti seperti elektrik, air dan penyelenggaraan perlu disalurkan supaya pengurusan masjid berjalan lancar,” jelasnya.
Muhammad Ridwanto berkata, kerajaan diharap dapat menyalurkan dana pembangunan komuniti dan pendidikan agama bagi menggerakkan lebih banyak kelas pengajian, program remaja dan belia, kelas tuisyen komuniti serta inisiatif digital berasaskan masjid.
“Masjid hari ini bukan sahaja pusat ibadah tetapi pusat ilmu dan tarikan anak muda. Jika ada dana mencukupi, kita boleh mengadakan lebih banyak program ilmu,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Isu kebajikan seperti kenaikan elaun melibatkan 'geng masjid' perlu diberikan perhatian dalam Belanjawan 2026
- Elaun dan gaji diterima oleh petugas masjid harus disesuaikan dengan keadaan kos sara hidup yang tinggi
- Kebajikan petugas dan pegawai masjid termasuk kenaikan elaun disepakati oleh siak dan imam sebagai langkah wajar
- Masjid berdepan kos operasi yang meningkat termasuk bil utiliti dan perlu subsidi untuk pengurusan lancar
- Kerajaan diharap dapat menyalurkan dana pembangunan komuniti dan pendidikan agama untuk menggerakkan lebih banyak program masjid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
