Grab sambut baik subsidi BUDI95, bantu ringankan kos pemandu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan di sini pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan di sini pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – Grab menyatakan sokongan terhadap inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diumumkan kerajaan kerana diyakini dapat membantu meringankan kos harian rakan pemandu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung pada Khamis.

Menurut beliau, menyokong rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian serta membina ekonomi gig yang inklusif dan berdaya tahan menjadi keutamaan Grab.

“Saya menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepimpinan beliau yang konsisten sebagai Pengerusi ASEAN dan menantikan Sidang Kemuncak yang kukuh bulan ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Dalam pertemuan tersebut, Anthony berkata, pasukannya berkongsi laporan pencapaian mengenai komitmen yang dibuat pada tahun 2024 serta menjelaskan langkah seterusnya yang akan dilaksanakan.

“Perbincangan turut menyentuh mengenai subsidi petrol BUDI95 kerajaan dan kami menyambut baik inisiatif itu kerana menyedari potensinya membantu mengurangkan kos harian rakan pemandu kami,” ujarnya.

Selain isu kos sara hidup, Anthony berkata, pertemuan tersebut juga memberi ruang untuk membincangkan peluang kerjasama lebih mendalam dalam beberapa keutamaan nasional.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memajukan peralihan tenaga negara selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Beliau berkata, perbincangan turut menyorot potensi besar kecerdasan buatan (AI) dalam membuka ruang baharu kepada rakyat Malaysia khususnya untuk meningkatkan kemahiran masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan pengalaman kerja AI yang kami miliki, kami percaya terdapat potensi bermakna untuk melatih lebih ramai individu dengan keupayaan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Mengulas mengenai perundangan baharu yang sedang dirangka, Anthony menegaskan Grab berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pelaksanaan lancar Rang Undang-undang Gig.

“Kami kekal komited bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan peraturan yang adil dan mampan dapat diguna pakai dengan lancar, seterusnya mewujudkan situasi menang-menang untuk rakan pemandu, pelanggan dan pemain e-hailing,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memberi ruang kepada Grab untuk berkongsi pandangan dalam pertemuan tersebut.

Anthony turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Ketua Pengarah Kementerian Digital, Nik Zalbiha Nik Mat; serta Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Nurhisham Hussein yang turut serta memberi pandangan sepanjang perbincangan berlangsung.

“Kami amat berterima kasih atas perkongsian idea serta pandangan yang diberikan oleh kepimpinan negara dalam usaha membina masa depan lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Menurut beliau, Grab berbangga dapat memainkan peranan dalam perjalanan Malaysia ke arah kemajuan melalui teknologi dan kerjasama strategik.

“Dengan gabungan teknologi dan perkongsian erat, kami mahu memperluas peluang pendapatan serta membuka masa depan lebih cerah untuk semua,” tambahnya.

Sementara itu, Anwar menerusi hantaranya memgulangi pendirian kerajaan yang akan membantu pemandu e-hailing susulan pelaksanaan subsidi petrol BUDI95.

“Saya mengambil maklum pandangan yang disampaikan dan kerajaan akan membantu pemandu e-hailing, selaras peranan penting mereka dalam sistem pengangkutan awam negara,” katanya.

Menurut Anwar, perbincangan itu turut menyentuh peranan lebih besar syarikat multinasional seperti Grab untuk bersama-sama melakar masa depan ekonomi Malaysia.

“Kerajaan akan terus menyokong inisiatif dan komitmen sebegini agar manfaat teknologi dan ekonomi digital dapat dinikmati bersama, sekaligus memastikan kemajuan bergerak seiring dengan peningkatan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Grab menyatakan sokongan terhadap inisiatif BUDI95 yang diumumkan kerajaan untuk meringankan kos harian rakan pemandu
  • Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan, berbincang dengan Perdana Menteri mengenai keutamaan membina ekonomi gig yang inklusif
  • Grab menyoroti potensi kecerdasan buatan untuk meningkatkan kemahiran masa depan rakyat Malaysia
  • Grab berkomitmen bekerjasama dengan kerajaan dalam pelaksanaan Rang Undang-undang Gig untuk mencapai situasi menang-menang
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan akan membantu pemandu e-hailing dengan pelaksanaan subsidi petrol BUDI95

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!