FGD, terowong cerobong asap di Loji Jana Kuasa Tanjung Bin terbakar

JOHOR BAHRU - Loji Jana Kuasa Tanjung Bin (TBE) di Pontian mengalami kebakaran pada bahagian Flue Gas Desulfurization (FGD) dan terowong cerobong asap, malam tadi.
Komander Operasi Kanan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata 22 anggota daripada tiga BBP termasuk Pontian dan Pekan Nenas serta Pasukan Bomba Sukarela Benut, digerakkan ke lokasi kejadian sebaik panggilan kecemasan diterima pada 8.22 malam.
Beliau berkata operasi pemadaman secara keseluruhannya membabitkan dua sektor bagi mengawal kebakaran.
"Pemadaman turut dibantu 10 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan enam anggota bomba pelabuhan (Tanjung Bin), dengan menggunakan dua unit fix monitor sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran itu secara keseluruhan memusnahkan 70 peratus bahagian FGD dan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Mahadir berkata pemantauan dan tindakan lanjut diserahkan kepada pihak pengurusan Malakoff dan ERT.
Beliau berkata setakat ini punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. - Bernama
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan - Malakoff
JOHOR BAHRU - Malakoff Corporation Bhd pada Jumaat mengesahkan bahawa tiada kemalangan maut atau kecederaan dilaporkan, susulan kejadian kebakaran di Loji Jana Kuasa Tanjung Bin Energy (TBEPP) di Pontian, Khamis malam.
Dalam satu kenyataan, Malakoff memaklumkan bahawa kawasan yang terjejas telah dijaga dengan selamat, dengan langkah berjaga-jaga sedang dilaksanakan untuk memastikan keselamatan kakitangan, petugas di tapak, dan komuniti sekeliling.
Menurut kenyataan itu, kebakaran yang berlaku sekitar jam 8 malam, berjaya dipadamkan pada 3.45 pagi dengan bantuan pasukan tindak balas kecemasan dalaman loji (ERT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Siasatan bersama dengan JBPM sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian," menurut kenyataan itu.
Malakoff turut memberikan jaminan bahawa keadaan adalah terkawal sepenuhnya, dengan pemantauan berterusan dan operasi penyalutan air sedang dijalankan di tapak.
Terdahulu, Ketua Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Superintenden Bomba Mahadir Mamat berkata, kebakaran berlaku malam tadi di unit Flue Gas Desulfurization (FGD) dan terowong cerobong Loji Janakuasa TBEPP.
Beliau berkata, sebanyak 22 anggota dari tiga BBP iaitu Pontian dan Pekan Nenas, serta pasukan bomba sukarela Benut telah dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima pada 8.22 malam.
Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 70 peratus bahagian FGD fasiliti tersebut. - Bernama
Ringkasan AI
- Loji Jana Kuasa Tanjung Bin di Pontian mengalami kebakaran pada bahagian Flue Gas Desulfurization dan terowong cerobong asap
- Seramai 22 anggota bomba daripada tiga BBP dan Pasukan Bomba Sukarela digerakkan ke lokasi kejadian
- Operasi pemadaman membabitkan dua sektor dan dibantu oleh 10 anggota ERT dan enam anggota bomba pelabuhan
- Kebakaran memusnahkan 70 peratus bahagian FGD tanpa ada mangsa terlibat
- Pemantauan dan tindakan lanjut diserahkan kepada pengurusan Malakoff dan ERT, punca kebakaran masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
