Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat 30 peratusan dalam mata kepada 4.2010/2150 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2090 semasa ditutup semalam. - Gambar hiasan
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat 30 peratusan dalam mata kepada 4.2010/2150 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2090 semasa ditutup semalam. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT terus mencatatkan kenaikan pada sesi pembukaan hari ini, disokong oleh sentimen bahawa penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berpanjangan boleh mendorong Rizab Persekutuan (Fed) untuk melonggarkan dasar monetarinya.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat 30 peratusan dalam mata kepada 4.2010/2150 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2090 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar pertukaran dolar AS-ringgit (AS$MYR) dijangka kekal stabil dan diniagakan antara 4.20 dan 4.22 hari ini.

Menurutnya, peserta pasaran menjangka ketidaktentuan ekonomi berikutan penutupan kerajaan AS akan memberi tekanan kepada Fed untuk menurunkan kadar faedah dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sekali gus mengurangkan permintaan terhadap dolar AS dan menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun seperti ringgit.

"Pada masa ini, peniaga dan pelabur bergantung pada kaji selidik syarikat swasta mengenai pasaran tenaga kerja untuk membina pandangan mereka tentang keadaan ekonomi berikutan penutupan kerajaan AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, penutupan kerajaan AS paling lama adalah pada 22 Disember 2018 hingga 25 Jan 2019 yang mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS, masing-masing sebanyak 0.1 dan 0.2 mata peratusan pada suku keempat 2018 dan suku pertama 2019.

Pada sesi awal, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 4.9248/9412 daripada 4.9410/9468 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding pound kepada 5.6482/6671 daripada 5.6741/6809 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8543/8640 daripada 2.8669/8705 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur hingga tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9409/9920 daripada 12.9829/13.0040 semasa ditutup semalam, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2596/2707 daripada 3.2665/2707 dan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 253.0/254.0 daripada 253.2/253.6.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.23/7.26 daripada 7.23/7.25 sebelum ini. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Ringgit mencatatkan kenaikan pada sesi pembukaan disokong oleh sentimen bahwa penutupan kerajaan AS mendorong Fed untuk melonggarkan dasar monetarinya
  • Mata wang tempatan meningkat 30 peratusan dalam mata wang kepada dolar AS
  • Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memperkirakan kadar pertukaran dolar AS-ringgit akan kekal stabil di antara 4.20 dan 4.22
  • Penutupan kerajaan AS mengakibatkan ketidaktentuan ekonomi yang mendorong Fed untuk menurunkan kadar faedah
  • Ringgit diniagakan bercampur-campur hingga tinggi berbanding mata wang ASEAN dan utama di pasaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!