Malaysia guna platform ASEAN sampaikan mesej tegas kepada Trump

Reezal Merican - Foto: Bernama
Reezal Merican - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan ini tidak bermaksud Malaysia berkompromi atau melupakan perjuangan rakyat Palestin.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, lawatan itu sebaliknya membuka peluang penting untuk Malaysia menggunakan platform ASEAN bagi menyampaikan mesej kepada Trump secara bersemuka tanpa berselindung.

"Malaysia percaya, pendirian yang tegas dan konsisten di pentas antarabangsa adalah bukti bahawa isu Palestin tidak pernah luput daripada keutamaan kita.

"Selagi kezaliman berlaku, selagi itu Malaysia akan bersuara lantang di hadapan mana-mana kuasa besar sekalipun," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata Malaysia akan terus menegaskan pendirian jelas menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin dan menyokong penuh hak mereka untuk merdeka dan berdaulat.

"Kehadiran Presiden Donald Trump ke Malaysia bukanlah atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atau rakyat Malaysia. Kehadiran beliau kerana tanggungjawab rasmi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan kunjungan Trump sebagai platform diplomasi untuk terus menyuarakan isu Palestin dengan tegas dalam mempertahankan kebenaran namun dengan pendekatan berstrategi.

Selain Trump, beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lawatan Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN tidak mengubah pendirian Malaysia tentang isu Palestin
  • Malaysia menggunakan platform ASEAN untuk menyampaikan mesej kepada Trump tentang isu Palestin
  • Malaysia konsisten menyuarakan penolakan terhadap penindasan rakyat Palestin
  • Kehadiran Trump di Malaysia adalah kerana tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bukan atas jemputan khusus
  • Malaysia bertekad menggunakan kunjungan Trump untuk terus menyuarakan isu Palestin secara berstrategi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!