Pelajar jatuh bangunan asrama dibenarkan keluar hospital - Polis

SHAH ALAM – Pelajar lelaki yang parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, bulan lalu dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pelajar terbabit dibenarkan discaj pada 20 September lalu selepas menerima rawatan susulan berhubung kecederaan yang dialaminya.
Menurutnya, perkembangan kesihatan remaja berkenaan menunjukkan tanda positif apabila mangsa kini sudah mampu berjalan dan bercakap, namun dari segi percakapan masih belum begitu lancar.
"Dalam aspek perbualan, pelajar itu masih ada kesukaran, manakala dari sudut fizikal dan mental, pemulihannya belum sepenuhnya pulih berikutan kecederaan di bahagian kepala.
"Polis juga menggunakan kaedah temu bual ketika mengambil keterangan bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Khamis.
Katanya, kertas siasatan berhubung kejadian itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut dan pihak polis kini sedang menunggu maklum balas serta arahan selanjutnya.
Sebelum ini, polis memaklumkan sudah merakam keterangan lebih 12 individu termasuk pelajar, guru dan warden asrama selain memperoleh beberapa petunjuk penting bagi membantu siasatan.
Pada 24 Ogos lalu, pelajar lelaki terbabit, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, dilaporkan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama berkenaan sebelum menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam.
Ringkasan AI
- Pelajar lelaki yang jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di Sabak Bernam sudah dibenarkan keluar dari hospital
- Dibolehkan discaj pada 20 September selepas menerima rawatan susulan
- Kesihatan remaja menunjukkan tanda positif, sudah mampu berjalan dan bercakap walaupun percakapan belum lancar
- Pemulihan dari segi fizikal dan mental belum sepenuhnya pulih akibat kecederaan kepala
- Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut, polis menunggu arahan selanjutnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

