Penyeludup angkut rokok dalam kuantiti sedikit guna bot elak dicekup

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mendedahkan penyeludup kini menggunakan modus operandi dengan membawa masuk rokok dalam kuantiti sedikit menggunakan bot fiber bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan anggota keselamatan.
Bukan itu sahaja, sindiket penyeludup turut menggunakan khidmat ‘tonto’ di lokasi strategik bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, hasil maklumat risikan mendapati pengemudi bot fiber ini akan melakukan tinjauan dahulu sebelum masuk ke anak sungai untuk menghantar barangan bagi mengelak ditahan.

Menurut beliau, terbaharu dalam operasi pada Selasa sekitar jam 3 pagi, sebuah bot fiber berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke muara Kuala Kemasin, Bachok sebelum ditahan.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan sebanyak 55 bungkusan plastik lutsinar berisi 550,000 batang rokok putih dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Ketika ditemui tiada individu berada di lokasi dan dipercayai suspek melarikan diri sebelum kehadiran anggota Maritim.
"Bot fiber ini disyaki digunakan untuk membawa masuk barangan tidak bercukai secara haram ke negara ini," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali di sini pada Khamis.
Menurut beliau, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM400,000.

Ujarnya, tangkapan itu hasil risikan menerusi pelaksanaan Op Naga, Damai dan Tiris yang dijalankan secara berterusan di perairan negeri ini.
Erwan Shah memberitahu, semua rampasan termasuk bot dibawa ke Pejabat Maritim Kelantan sekitar jam 7 pagi untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tidak bercukai dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana memiliki bot tidak berdaftar," jelasnya.
Ringkasan AI
- Penyeludup menggunakan bot fiber bawa masuk rokok dalam kuantiti sedikit untuk elak dikesan
- Sindiket guna khidmat 'tonto' untuk pantau pergerakan pihak berkuasa
- Bot tanpa nombor pendaftaran dikesan bergerak mencurigakan dan ditahan membawa 550,000 batang rokok
- Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM400,000
- Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

