Lelaki maut nahas tiga kereta

Seorang lelaki maut manakala dua cedera dalam kemalangan tiga kereta ketika hujan lebat di Jalan Bahau–Kemayan, Jempol.
Seorang lelaki maut manakala dua cedera dalam kemalangan tiga kereta ketika hujan lebat di Jalan Bahau–Kemayan, Jempol.
A
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 7, Jalan Bahau–Kemayan di sini ketika hujan lebat pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, kejadian berlaku pada jam 2.20 petang apabila sebuah Perodua Kelisa dipandu lelaki tempatan berusia 53 tahun dari arah Kemayan menghala ke Bahau bertembung dengan sebuah Toyota Vios dari arah bertentangan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, cuaca dilaporkan hujan lebat. Sebuah Toyota Vios dipandu lelaki berusia 39 tahun dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Kelisa.

“Pada masa sama, sebuah lagi kenderaan jenis Honda HR-V dipandu seorang wanita berusia 41 tahun yang datang dari arah sama dengan Perodua Kelisa gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kelisa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara itu, pemandu Toyota Vios cedera dengan patah kaki kanan manakala pemandu Honda HR-V hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian mata.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Polis turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Jempol di talian 016-2348669.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki maut dan dua lagi cedera dalam kemalangan tiga kereta di Kilometer 7, Jalan Bahau–Kemayan ketika hujan lebat
  • Kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Vios hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan, bertembung dengan Perodua Kelisa
  • Sebuah Honda HR-V juga terlibat apabila gagal mengelak dan merempuh bahagian belakang Perodua Kelisa
  • Pemandu Perodua Kelisa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala
  • Polis meminta orang awam saksi kejadian membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!