[KRONOLOGI] Kes rogol babit Paul Yong

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diperintah menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, berhubung kesalahan merogol pembantu rumahnya, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Paul Yong, 55, untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara termasuk sebatan.
Mendengar keputusan itu, Paul Yong selaku perayu yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul.
Isteri dan anak-anaknya juga bersedih dengan keputusan berkenaan kemudian memegang tangan Paul Yong sebelum dibawa ke penjara serta-merta.
Berikut adalah kronologi kes rogol babit Pau Yong;
23 Ogos 2019 — Paul Yong didakwa di Mahkamah Sesyen, Ipoh atas pertuduhan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan iaitu merogol pembantu rumahnya.
15 Disember 2020 — Perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas panel peringkat tinggi membenarkan permohonan pemindahan. Kes dikendalikan di Mahkamah Tinggi Ipoh.
7 Disember 2021 — Mahkamah Tinggi memerintahkan Paul Yong membela diri setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
27 Julai 2022 — Hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan sabitan dan Paul Yong dihukum 13 tahun penjara dan dua sebatan tetapi pelaksanaan hukuman tersebut diberi tangguhan (stay) sementara beliau mengemukakan rayuan.
1 Mac 2024 — Mahkamah Rayuan menolak rayuan berkaitan sabitan namun mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun, manakala hukuman sebatan dikekalkan. Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
27 Ogos 2025 — Perbicaraan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan bermula.
1 Oktober 2025 — Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Paul Yong secara sebulat suara. Keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan. Perintah dikeluarkan supaya beliau memulakan hukuman penjara lapan tahun dan menjalani 2 sebatan serta-merta dan dihantar ke Penjara Kajang.
Ringkasan AI
- BEKAS ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan kerana merogol pembantu rumahnya enam tahun lalu
- Rayuan akhir Paul Yong untuk mengetepikan sabitan dan hukuman ditolak oleh Mahkamah Persekutuan
- Paul Yong dan keluarganya bersedih dengan keputusan Mahkamah
- Kes rogol melibatkan Paul Yong bermula dengan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019
- Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan memerintahkan Paul Yong menjalani hukuman serta-merta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

