Tahanan Maritim mati tergantung dalam lokap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG – Seorang tahanan lelaki ditemui mati dalam lokap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, di Tanjung Harapan, di Pelabuhan Klang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7,15 pagi itu, tahanan berumur 31 tahun itu ditemui tergantung di jeriji besi menggunakan baju lokap Maritim Malaysia.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki terbabit yang juga seorang nelayan di Sungai Pelek, Sepang ditahan pada 9 Januari lalu oleh pihak Maritim di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

“Lelaki berkenaan memiliki 22 bungkusan ketulan disyaki dadah jenis syabu seberat 23kg dan direman tujuh hari hingga esok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian anggota Balai Polis Sultan Suleiman menemukan tahanan itu tergantung.

“Pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah HTAR bagaimanapun mengesahkan tahanan sudah meninggal dunia.

“Pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir membantu siasatan” katanya.

Mayat lelaki terbabit dihantar ke HTAR untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat menggantung diri. Tiada unsur unsur jenayah atau kesan kecederaan di badannya,” katanya.